TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Tiga Tahun Berkampung di Studio, Chubb-E Kembali dengan “Tetap Di Sini” Angkat Erti Cinta Sebenar

Selepas tiga tahun menyepi daripada merilis karya baharu, penyanyi, komposer dan penerbit muzik Chubb-E, kembali memeriahkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul “Tetap Di Sini” yang dilancarkan pada 23 Oktober 2026 di bawah naungan syarikat rakaman 1711 Music. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Chubb-E ini bukan sekadar mengupas soal kesetiaan dan pengorbanan, malah membawa mesej mendalam bahawa cinta sejati tidak semestinya berakhir dengan memiliki seseorang.

Menurut Chubb-E, ilham penghasilan lagu tersebut lahir daripada pengalaman peribadi serta pemerhatiannya terhadap cara masyarakat moden memaknai hubungan cinta. Beliau berpandangan bahawa ramai terlalu mengejar kehendak memiliki sehingga terlupa melepaskan dan merelakan juga adalah sebahagian daripada cinta. Jelasnya, apabila seseorang mempunyai impian atau haluan hidup yang berbeza, memaksa mereka bertahan bukanlah bukti cinta yang sebenar.

Mengulas makna di sebalik judul “Tetap Di Sini”, Chubb-E menegaskan ia tidak menggambarkan seseorang yang menanti kepulangan bekas kekasih, sebaliknya merujuk kepada jiwa, hati serta kenangan yang terus terpahat walaupun hubungan telah terlerai. Menulis lirik, menggubah melodi dan menerbitkan muzik sendiri, beliau meletakkan kejujuran emosi sebagai teras utama dalam setiap karya yang dihasilkan.

Dari aspek susunan muzik, “Tetap Di Sini” menggabungkan gaya pop balada dengan elemen hip hop yang menjadi akar muziknya, lengkap bersama rentak groove serta swag bagi mencipta rasa bittersweet seperti pernah ditampilkan menerusi “Biru Malam dan Tiada Noktah”. Video muziknya pula mengangkat kisah perjuangan lelaki yang berdepan keterbatasan dalam mempertahankan cinta, sehingga berjaya menyentuh emosi seorang rakan pelakon terkenal yang menitiskan air mata sebelum babak kemuncak berakhir.

Sepanjang tiga tahun tidak mengeluarkan lagu baharu, Chubb-E memanfaatkan masa tersebut untuk mengasah kemahiran produksi, bereksperimen dengan bunyi serta menyiapkan puluhan lagu untuk single, EP, album dan projek kolaborasi tahun hadapan. Sejurus dilancarkan, “Tetap Di Sini” berjaya menembusi beberapa senarai main popular Spotify termasuk Carta Malaysia 50, Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Malaysia dan New Music Friday Singapore manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Chubb-E – Tetap Di Sini (Official Music Video): https://youtu.be/1ORiPqzoAXQ?si=HWmGmO0Vp8xTxC0x