JURI MENCABAR HAZAMI DAN MAHU BELIAU BERIKAN PERSEMBAHAN TERPALING WOW

Petaling Jaya, 1 September 2022 Sudah dua minggu TERPALING JUARA ditayangkan. Hazami, penyanyi R&B yang popular dengan lagu-lagu hits seperti Tekad, Sonata Musim Salju, Kata, Mungkir Bahagia dan Kiblatku telah menunjukkan persembahan yang sangat menghiburkan dengan menanyikan lagu Mungkir Bahagia dan Seribu Impian di pentas TERPALING JUARA.

Minggu lalu, hakim tetap Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai Kak Gee berkongsi pandangannya mengenai persembahan Hazami. “Saya menikmati pendekatan Hazami, namun ada sesuatu yang hilang dalam lagu Seribu Impian ini. Anda kelihatan mengelak sesuatu di atas pentas. Anda seorang vokalis yang sangat baik dengan vokal yang kuat dan suara yang indah. Kami mahu menunjukkan aspek Hazami yang berbeza di pentas ini sebagai artis yang sudah lama menceburi bidang itu” Kak Gee bersuara.

Hazami berasa selesa bekerja dengan Akim Ahmad yang dipercayai membaca Hazami seperti buku. Akim menekankan irama dalam persembahan nyanyiannya; apakah rancangan mereka kali ini untuk lagu pilihan episod 3, Mas Mona (SFMM7, nyanyian asal Jeffrydin)?

“Ketika dilamar untuk menyertai TERPALING JUARA, saya terus bersetuju kerana saya suka dengan konsep program dan saya juga sudah lama tidak bertanding di Anugerah Juara Lagu. Terima kasih kepada Dato’ Hattan dan Fauziah Latiff yang memberikan teguran. Segala komen, pandangan dan kritikan itu diterima secara terbuka. Saya tak rasa terkilan kerana sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan mencuba benda-benda baharu untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya nyanyian. Saya akan buktikan bahawa keupayaan Hazami bukan hanya bersandarkan vokal tetapi juga boleh menjayakan pelbagai corak persembahan, memberikan hanya yang terbaik di pentas Terpaling Juara,” tambah Hazami.

“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hazami seorang penyanyi dan penghibur yang versatil dan berbakat besar. Kami berdua juga akur dengan tekanan yang dihadapi sekarang apabila Hazami dicabar dan diletakkan harapan yang sangat besar pada setiap persembahan di pentas TERPALING JUARA. Saya juga tahu yang peminat-peminat Hazami mahukan persembahan yang paling WOW daripada idola mereka pada setiap minggu. InsyaAllah, kami akan menyahut cabaran ini dan memberikan impak yang besar buat Hazami dalam program ini,” kata Akim Ahmad yang merupakan kapten kepada penyanyi legenda ini.

TERPALING JUARA, program hiburan terbaru TV3, menggandingkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini, dan Naim Daniel, yang merupakan penyanyi, pencipta lagu, dan penulis lirik yang sangat berbakat serta pemilik trofi Juara Lagu pada anugerah paling kecemerlangan, menentang satu sama lain untuk membimbing penyanyi veteran dan penyanyi junior kepada persembahan mingguan yang produktif daripada #playlistAJL, yang merupakan lagu popular yang telah dicalonkan dalam semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Jangan ketinggalan untuk menonton Terpaling Juara pada setiap hari Ahad, siaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pukul 9.00 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *