Fenomena muzik dari Timur Indonesia kini bakal menghangatkan pentas ibu kota melalui Malam FYP Timur, sebuah konsert yang meraikan kebangkitan budaya muzik Timur Indonesia yang semakin mendapat tempat di kalangan generasi muda. Konsert julung-julung kali seumpamanya ini dijadualkan berlangsung pada 24 April 2026, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Gaga Entertainment, syarikat pengurusan artis, produksi acara, dan perhubungan awam terkemuka Malaysia, Malam FYP Timur menjanjikan malam yang bertenaga dengan gabungan keunikan muzik rentas budaya, elemen digital, dan hiburan secara langsung. Konsert ini menampilkan tiga nama besar dari Indonesia — Silet Open Up, Faris Adam, dan Ecko Show — yang masing-masing terkenal dengan karya tular di media sosial serta pencapaian penstriman digital yang mengagumkan.

Silet Open Up merupakan peneraju gerakan muzik Timur Indonesia dengan lagu hit Tabola Bale yang mencatat lebih 475 juta penstriman di Spotify dan 350 juta tontonan di YouTube. Faris Adam, penyanyi-penulis lagu dari Maluku, mencuri perhatian melalui lagu Stecu Stecu yang meraih lebih 150 juta penstriman Spotify dan 184 juta tontonan YouTube. Ecko Show, ikon hip hop Indonesia, mempunyai lebih 250 juta penstriman Spotify dan 600 juta tontonan YouTube, dikenali dengan lirik yang tajam dan penceritaan yang dekat dengan jiwa anak muda.

Dengan konsep yang diinspirasikan daripada For You Page (FYP) di media sosial, Malam FYP Timur dijangka mencipta pengalaman konsert interaktif yang unik dan lain daripada biasa. Acara ini juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi Gen Z dan Milenial.
Menurut pihak penganjur, Gaga Entertainment, Malam FYP Timur bukan sekadar konsert semata-mata, tetapi sebuah perayaan budaya. Penganjur berkata, “Kami mahu membawa muzik Timur Indonesia yang kini menjadi fenomena digital terus ke pentas Malaysia. Malam FYP Timur adalah perayaan budaya, tenaga muda, dan hubungan serantau melalui muzik.”