Sempena kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga tampil memeriahkan musim perayaan dengan lagu raya berjudul Raya Yay Yay, sebuah karya yang sarat dengan energi dan elemen menghiburkan. Mendengarkan bait-bait lirik dalam lagu ini pasti mengembalikan ingatan sebahagian pendengar kepada kemeriahan menyambut Hari Raya ketika zaman kanak-kanak.
Lagu terbitan FYP Media ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves. Raya Yay Yay telah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu dan sejak itu mula mencuri perhatian pendengar dengan konsepnya yang ceria serta bersemangat. Menariknya, gandingan pertama kali antara Dafi, Ryan dan Farel dilihat bukan sahaja sebagai satu eksperimen yang berjaya, malah meninggalkan pengalaman dan kenangan manis buat ketiga-tiga mereka.
Menurut Dafi, beliau berasa gembira dapat meraikan kehadiran Syawal tahun ini dengan sebuah karya baharu bersama dua penyanyi tersebut. Katanya, proses rakaman lagu ini sebenarnya berlaku secara tidak dirancang apabila pihak pengurusan FYP Media menawarkan peluang untuk bergandingan dengan Ryan Bakery dan Farel Prayoga. Baginya, peluang tersebut merupakan sesuatu yang baik kerana beliau belum pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini. Sepanjang proses rakaman berlangsung, banyak pengalaman baharu yang dipelajarinya.
Tambah Dafi lagi, suasana dan tenaga yang terdapat dalam lagu ini memerlukan beliau benar-benar menghayati dan menjiwai karya tersebut bagi memberikan warna yang sesuai kepada Raya Yay Yay. Vibe lagu yang ceria dan penuh semangat itu mendorongnya untuk memberikan persembahan vokal yang lebih bertenaga.

Ryan Bakery pula menyifatkan lagu ini sangat dekat dengan jiwanya yang sentiasa ceria dan gemar menyebarkan aura positif kepada orang ramai. Menurutnya, Hari Raya sering digambarkan dengan kemeriahan serta keseronokan berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai, dan suasana itulah yang cuba diterjemahkan oleh pencipta lagu ini ke dalam karya tersebut. Semangat yang sama juga cuba dipaparkan dalam muzik video lagu ini agar orang ramai dapat menyambut lebaran dalam suasana yang penuh kegembiraan. Ryan turut menegaskan bahawa Aidilfitri bukanlah satu pertandingan, sebaliknya masa untuk dinikmati dengan penuh keinsafan serta menghargai apa yang dimiliki pada hari ini.
Bagi Farel Prayoga pula, peluang untuk merakamkan lagu Raya Yay Yay merupakan satu pengalaman berharga memandangkan ini merupakan lagu raya pertamanya sepanjang bergelar anak seni. Penyanyi yang berasal dari Banyuwangi, Indonesia itu menjelaskan bahawa di negaranya, lagu-lagu yang dihasilkan biasanya lebih tertumpu kepada bulan Ramadan berbanding sambutan Hari Raya. Oleh itu, apabila diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini, beliau tidak mahu melepaskannya. Farel turut berharap lagu Raya Yay Yay dapat diterima dengan baik oleh pendengar di Malaysia mahupun di Indonesia.
Dalam masa yang sama, Farel mengakui proses rakaman lagu ini agak mencabar buat dirinya kerana terdapat beberapa kosa kata yang kurang difahaminya. Namun begitu, beliau menganggap pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat mempelajari banyak perkara baharu sepanjang penglibatannya dalam projek tersebut.
Sebagai rekod, Raya Yay Yay telah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu, manakala muzik video lagu tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music bermula 6 Mac. Muzik video rasmi lagu ini juga boleh ditonton melalui pautan https://youtu.be/Nfnhx44F1Io?si=raiXzZbuSdyxxYsI.