Syarikat pelancongan terkemuka tanah air Golden Destinations Group Berhad, mengorak langkah berani dalam pelan pengembangan serantaunya apabila mengumumkan cadangan pengambilalihan 70% pegangan saham dalam Double Happiness Holidays Limited, sebuah agensi pelancongan berlesen di Hong Kong.
Pelaburan bernilai HKD700,000 (sekitar RM364,600) ini menandakan kemasukan rasmi mereka ke dalam pasaran perjalanan keluar Hong Kong. Melalui transaksi tersebut, Double Happiness bakal dijenamakan semula sebagai Golden Destinations (HK) Limited sebaik sahaja urusan pengambilalihan selesai sepenuhnya.
Langkah strategik ini membolehkan syarikat memperluas model perniagaan B2B (business-to-business) dengan menawarkan akses kepada lebih 2,000 pakej pelancongan merangkumi 84 negara kepada rakan ejen di Hong Kong. Selain pasaran tempatan, mereka turut menyasarkan potensi besar pelancong dari tanah besar China yang transit atau melancong melalui wilayah tersebut.
Operasi di Hong Kong akan diketuai oleh Yung Sing Wah selaku Pengarah Eksekutif, seorang tokoh berpengalaman lebih 18 tahun dalam industri pelancongan. Pengarah Urusan Golden Destinations, En. Mita Lim, menyatakan bahawa selepas Singapura, Hong Kong menjadi batu loncatan penting untuk mengukuhkan kedudukan jenama itu di peringkat serantau.
Inisiatif pasca penyenaraian ini membuktikan komitmen Golden Destinations untuk terus meluaskan pengaruh global berasaskan pengalaman kukuh hampir tiga dekad di Malaysia, Singapura dan sekali gus memperkukuhkan strategi pasca penyenaraian syarikat untuk membina kehadiran jenama yang lebih kukuh di rantau Asia.











