Bintang Rocketfuel Entertainment yang semakin bersinar, Nadeera, terus mencipta fenomena dalam industri muzik tanah air selepas persembahan gemilangnya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Walaupun hanya meraih gelaran naib juara, Nadeera berjaya memikat perhatian peminat dan pemerhati industri muzik dengan vokal luar biasa dan persembahan penuh emosinya yang meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.
Setelah AJL39, lagu “Bukan Lagi Kita” nyanyian Nadeera melakar sejarah dengan menjadi lagu paling banyak distrim di platform muzik utama seperti Spotify Malaysia, Apple Music Malaysia, YouTube Music Malaysia, dan dimuat turun di iTunes Music Malaysia. Lagu tersebut mengatasi pelbagai lagu domestik dan antarabangsa, mencatatkan pencapaian luar biasa yang mengukuhkan kedudukannya di puncak industri muzik digital.
Yang lebih membanggakan, “Bukan Lagi Kita” turut tersenarai sebagai salah satu daripada tiga lagu artis Malaysia yang berjaya menduduki carta nombor satu di ‘Carta Spotify Malaysia Daily Top Song’, bersaing dengan lagu-lagu terkenal seperti “Hasrat” oleh Amir Jahari dan “Suasana di Hari Raya” oleh Anuar & Ellina.
Lagu ini juga turut menjadi lagu tema (OST) untuk drama popular “Curang Tanpa Niat”, dan dengan lebih 5 juta tontonan di YouTube, muzik video lagu tersebut terus menjadi tumpuan peminat di seluruh Malaysia.

Menyentuh mengenai kejayaannya, Nadeera tidak dapat menyembunyikan rasa terima kasih terhadap sokongan luar biasa yang diterimanya. “Saya sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh semua peminat. Kejayaan ini adalah hasil daripada doa dan sokongan mereka yang tidak putus-putus. Impian saya untuk berada di pentas AJL akhirnya tercapai, dan saya hanya ingin memberikan yang terbaik ketika menyampaikan lagu,” ujar Nadeera.
Melihatkan sambutan yang begitu positif dari peminat, Nadeera berkata, “Reaksi positif yang diterima adalah sesuatu yang amat bermakna bagi saya. Ini adalah permulaan bagi perjalanan saya, dan saya berjanji untuk terus berusaha keras untuk memberikan lebih banyak karya yang bermakna kepada peminat.”
Kejayaan luar biasa yang dicapai Nadeera menjadi bukti bahawa bakat dan kerja kerasnya kini semakin dihargai dalam industri muzik. Fenomena ini bukan sahaja membuktikan ketabahannya, tetapi juga menjadi inspirasi kepada ramai penyanyi muda yang ingin melangkah ke dalam dunia muzik.
Nadeera kini dikenali sebagai salah seorang artis yang mampu menguasai pasaran muzik digital, dan dengan sokongan berterusan dari peminat, beliau dijangka akan terus mencipta lebih banyak kejayaan dalam kariernya. Untuk perkembangan terkini mengenai Nadeera dan karya-karyanya, peminat boleh mengikuti akaun rasmi beliau di pelbagai platform media sosial dan digital.