Sempena sambutan Hari Naik Tangga Kebangsaan pada 14 Januari 2026, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) telah meraikan hari tersebut dengan menjemput Juara Dunia Larian Menara, Soh Wai Ching, untuk mengetuai pendakian ke puncak atau spire Menara Merdeka 118. Inisiatif ini melambangkan semangat kecergasan, ketahanan dan pencapaian yang selari dengan nilai yang diketengahkan oleh pembangunan mercu tanda negara itu.
Menara Merdeka 118 yang berketinggian 678.9 meter menampilkan struktur puncak setinggi 160 meter, menjadikannya antara bangunan tertinggi di dunia. Pendakian bersejarah ini disertai oleh seramai 20 peserta, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, barisan ketua jabatan serta beberapa pemegang taruh utama di presint Merdeka 118.

(From left to right) Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim with World Champion Tower Runner Soh Wai Ching, Dato’ Fadil Marsus, Kuala Lumpur Police Chief and Ravinder Singh, President of Malaysia Tower Running at the Merdeka 118 Spire.
Menurut Dato’ Izwan Ibrahim, di Merdeka 118 mereka percaya bahawa setiap kemajuan bermula dengan satu langkah. Pendakian bersama Soh Wai Ching, seorang juara dunia dari Malaysia, mencerminkan semangat disiplin, ketahanan dan kerjasama berpasukan yang menjadi teras organisasi dalam usaha untuk terus mara ke hadapan. Beliau turut menyatakan keterujaan untuk mengalu-alukan pengunjung ke The View at 118 yang bakal muncul sebagai dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara.

Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim with World Champion Tower Runner Soh Wai Ching and other invited guests at level 118 during the Merdeka 118 Spire Climb.
The View at 118 yang dijangka dibuka pada suku ketiga tahun 2026 bakal menjadi tarikan baharu yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur, selain pengalaman berintensiti tinggi seperti Edge Walk dan Spire Climb. Pembukaan ini dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global yang unik dan menarik.