Bisik Asmara: Godaan Kesunyian Meruntuhkan Kepercayaan

Di sebalik kehidupan yang kelihatan sempurna, tersembunyi bisikan hati yang mampu meruntuhkan segalanya. Bisik Asmara merupakan sebuah drama sarat emosi yang mengangkat tema kesunyian, godaan dan konflik perasaan, bakal menemui penonton mulai 21 Januari hingga 10 Februari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3 atau menerusi platform penstriman iQIYI.

Drama 20 episod terbitan Saphire Screen ini diarahkan oleh Jamal Khan dengan skrip hasil nukilan Rozie Rashid dan Zakinah Ab Zarith. Menampilkan lakonan mantap Zul Ariffin, Sophia Albarakbah dan Uqasha Senrose, setiap episod membawa penonton menyelami kisah tiga jiwa yang terperangkap dalam hubungan penuh batasan, dilema emosi dan konflik batin yang meruncing.

Bisik Asmara mengisahkan Noreen, lakonan Uqasha Senrose, seorang wanita berdikari dan berkerjaya yang menjalani kehidupan teratur serta kelihatan sempurna di mata luar, namun sebenarnya dihimpit kesunyian yang semakin mendalam. Kehidupannya mula tergugat apabila Farhan, rakan sekerja yang berdepan masalah tempat tinggal, memerlukan rumah sewaan sementara dan hadir sebagai jiran baharu dalam hidupnya.

Farhan, lakonan Zul Ariffin, terpaksa menjalani perkahwinan jarak jauh bersama isterinya, Sheila yang dilakonkan oleh Sophia Albarakbah. Sheila memilih untuk menetap di kampung demi menjaga ibunya, Umi, yang uzur dan menghidap demensia. Terperangkap antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan emosi sebagai seorang manusia, kehadiran Farhan dalam kehidupan Noreen perlahan-lahan mencetuskan perasaan yang tidak sepatutnya wujud.

Hari demi hari, hubungan Noreen dan Farhan semakin rapat meskipun masing-masing dibelenggu rasa bersalah, tanggungjawab dan kebimbangan. Tanpa disedari, hubungan yang bermula secara tidak bersalah berubah menjadi permainan emosi, obsesi dan pengkhianatan perasaan, sekali gus menguji kesetiaan, kejujuran serta batas moral. Dalam masa yang sama, Sheila yang berkorban demi keluarga mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena, membuka ruang kepada konflik yang semakin meruncing dan keputusan-keputusan sukar yang bakal mengubah hidup mereka semua.

Mampukah kepercayaan yang telah patah kembali dipulihkan, atau adakah kesunyian akan terus menjerut jiwa?

Menurut Zul Ariffin, watak Farhan sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ramai lelaki bergelut antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan untuk difahami sebagai manusia. Drama ini bukan bertujuan untuk menghakimi, sebaliknya membuka ruang perbincangan tentang pilihan yang dibuat ketika hati berada dalam kesunyian, kerana kadangkala bukan cinta yang salah, tetapi keputusan yang diambil.

Lebih daripada sekadar kisah cinta terlarang, Bisik Asmara mengangkat realiti tentang kesunyian dalam perkahwinan, keperluan emosi yang terabai serta akibat apabila batas perasaan dilanggar. Dengan penceritaan yang matang, konflik psikologi yang mendalam serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon utama, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang mencengkam dan dekat dengan realiti kehidupan moden.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bisik Asmara bermula 21 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. Episod baharu juga boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3 menerusi laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.