Pembentangan Belanjawan MADANI Kelima bertemakan “Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi” oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober 2026, membuka lembaran baharu yang komprehensif dalam memacu transformasi digital negara ke arah matlamat Malaysia sebagai Negara AI menjelang tahun 2030.
Melalui belanjawan ini, Kementerian Digital menjadi peneraju utama dalam memperkukuh ekosistem digital nasional dan membina tenaga kerja masa hadapan. Antara tumpuan utama adalah memperkasakan AI Malaysia Berhad bagi melahirkan 200,000 tenaga mahir kecerdasan buatan (AI) menerusi program pembangunan bakat beretika dan pengukuhan infrastruktur digital.
Bagi menyokong sektor perniagaan tempatan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dipertanggungjawabkan menyalurkan dana bagi membantu 4,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerapkan keupayaan AI serta mengautomasi operasi mereka, di samping melatih serta memperakui 5,000 profesional AI tempatan.
Inisiatif ini turut memperluaskan kepada usaha memperkasakan modal insan apabila Kerajaan mengumumkan penambahan 100,000 langganan aplikasi AI percuma termasuk ChatGPT, selain akses kepada lebih 16,000 kursus profesional bersama Coursera menerusi Platform Rakyat Digital.
Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan lonjakan teknologi tinggi berjalan seiring dengan usaha merapatkan jurang digital. Kementerian Digital menyambut baik peruntukan ini dan bersedia menggembleng tenaga merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai hab AI serantau yang inklusif, berdaya saing dan mampan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.











