Dulu Dollah Daebak yang bintangi oleh Sharifah Rose, Riena Diana dan Sean Lee, telah mencuri perhatian penonton dengan plot yang unik dan penuh kelucuan. Sejak episod pertama, drama ini berhasil memikat hati penonton dengan kisah seorang lelaki bernama Dollah yang mengalami transformasi luar biasa.
Bermula dengan kenangan manis zaman kanak-kanak yang menghidupkan kembali nostalgia cinta monyet antara Doli dan Dollah. Setelah kembali ke Malaysia, Durrah, atau lebih mesra dipanggil Doli, berusaha mencari Dollah dengan harapan untuk berkahwin dengan jejaka idamannya.
“Mana tau, cinta monyet bertukar menjadi cinta sejati…kalau jumpalah. Kalau tak jumpa sekian jelah.” kata Doli pada kawan serumahnya.
Akibat muka yang penuh berjerawat dan tidak terurus membuatkan Dollah atau nama sebenar Abdullah Arfan, sering dibuli dan dipergunakan oleh rakan sekerja, namun tetap tabah membantu keluarga.
“Berlambak produk-produk jerawat diluar sana, tak reti beli ke?” Kamal, boss Dollah menjerkah.
Namun, Dollah lebih pentingkan keluarga dari dirinya sendiri. “Semata-mata nak menjaga keluarga, diri sendiri tak terjaga.” bebel Jamil, ayah Dollah.
Pertemuan semula Doli dan Dollah di depan sebuah kafe tidak disangka-sangka apabila mereka terlanggar secara tidak sengaja. Masing-masing terperasan akan keychain yang menyerupai pemberian masa kecil tergantung di beg, namun keduanya cuba menolak perasaan curiga. Yang mencuit hati, apabila keluarga Dollah masih menyambut hari jadi Doli walaupun sudah lama tidak berhubung.
Doli mula bekerja di syarikat yang sama dengan Dollah, mengantikan boss Kamal. Timbul pertanyaan dalam hati Doli akan kesamaan nama sebenar Dollah dengan cinta hatinya. Doli menidakkan rasa kekeliruan itu kerana rupa Dollah yang kurang disenanginya. Dollah yang mempunyai bau badan, sering dimarahi oleh Doli. Situasi menjadi tegang apabila Doli secara terbuka mengkritik bau badan Dollah di pejabat. “Tolong pakai perfume!”
Sementara itu, adik Dollah, Fasya, secara tidak sengaja terserempak dengan Doli di kedai printing, menambahkan lagi kerumitan dalam cerita. Doli menghubungi Dollah setelah mendapatkan nombor telefon Dollah dari Fasya. Dollah bingung apabila menerima banyak mesej dari Doli untuk ajak berjumpa. Bertambah lucu apabila Doli datang ke rumah Dollah, tetapi keluarga Dollah terpaksa berbohong kerana Dollah belum bersedia untuk bertemu. Walaupun kelakar, episod ini menyentuh hati dengan nilai kekeluargaan yang kuat.
Dalam masa yang sama, Doli mula merasa tidak selesa dengan pandangan Dollah, memaksa dirinya untuk berdepan, “Eeiii aku cucuk-cucuk jerawat kau nanti” kata Doli bengang. Dollah membalas, “Muka macam saya ni layak ke nak mengatal dengan perempuan?”
Dollah semakin tertekan apabila rakan sekerja mula menjauhkan diri setelah dia enggan membantu mereka seperti biasa. Kehadiran COO baru, Fatah Amir, di pejabat juga menambahkan ketegangan dalam hubungan Doli dan Dollah. Situasi lucu berlaku akibat cemburu berlaku apabila jabat tangan yang dihulur Fatah kepada Doli telah disambut oleh Dollah.
“Saya rasa lebih afdal bila kita-kita je salam. Saya Arfan, selamat datang ke ofis kami.” Dollah mengenalkan dirinya
“Betul betul betul..kita-kita ..aa no touching with opposite gender..unneccessarily. Islam is the way of life..Haram. kita-kita jelah ye” kata boss besar.
Fatah menambah “Paksu, no wonder you cakap ofis ni selalu bersemut… tak sangka pulak my dear Doli over here..OMG, what’s a beautiful”.
Setelah menerima beberapa nasihat dan tekanan dari sekelilingnya Dollah mula memakai produk hilangkan jerawat. Dollah bertambah cemburu dengan Fatah dan berjumpa Doli menyampaikan hasrat menukar department. Namun hasrat Dollah ditolak oleh Doli. Doli mengusulkan acara team building untuk meningkatkan prestasi pekerjanya. “Lain macam pulak aku tengok Arfan ni, mukapun dah kurang jerawat, badan pun dah tak bau kepam, cuma baju dan jambang dia jelah” gumam Doli dalam hati.
Dollah melakukan perubahan drastik dengan bersetuju dengan ajakkan ayahnya untuk memotong rambut. Dengan penampilan yang lebih kemas dan wajah yang semakin bersih dari jerawat, Dollah dengan gaya rambut baru mengejutkan rakan sepejabatnya terutama Doli yang semakin keliru dengan perasaannya. Risya pula mula terpesona dengan ketampanan Dollah, cuba menarik perhatian dan menunggu Dollah balik dari surau “Macam ada aura ahli syurga..Dollah daebak lah sekarang”.
Perebutan antara Doli dan Risya semakin menjadi-jadi sehinggakan Dollah keliru, “Arghhh… tu yg malas jadi hansem ni. Jadi rebutan wanita-wanita pulak macam dulu”.
Komedi romantik ringan ini penuh unsur kelakar dan diselitkan dengan pengajaran dan kisah cinta yang berbelit ini pasti membuatkan penonton tertunggu-tunggu episod seterusnya. Adakah Doli akan mengakui perasaannya? Atau adakah Dollah akan terus terperangkap dalam konflik dalaman? Dapatkah Risya merebut hati Dollah? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod-episod seterusnya yang penuh dengan kejutan dan momen-momen yang pasti mencuit hati!
Saksikan kisah romantik komedi, Dulu Dollah Daebak arahan Eoon Shuhaini yang mengandingkan pelakon Sean Lee, Sharifah Rose, Riena Diana, Syazuwan Hassan dan ramai lagi menerusi slot Akasia telah pun mula bersiaran dari 8 Ogos 2024 lalu, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan strim 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau di laman web www.tonton.com.my.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.