Emas 9 Karat Pilihan Baru: Trishya&Co Perkenal Koleksi 9KJ

Pengasas jenama barang kemas terkemuka Trishya&Co, Datin Dr. Raskidah Ali dan Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, mempunyai hasrat yang tinggi untuk mencapai jualan sebanyak RM10 juta menjelang akhir tahun 2024 melalui pelancaran koleksi terbaru mereka, ‘9KJ’ (9 Karat Jewellery). Dengan keunikan reka bentuk dan inovasi yang ditawarkan, beliau yakin bahawa koleksi ini akan mengubah landskap industri barang kemas dan menarik minat pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak dilancarkan, koleksi ‘9KJ’ telah mendapat sambutan yang luar biasa. Malah, sebelum pelancaran rasmi malam ini, kami sudah berjaya meraih jualan sebanyak RM1.3 juta,” ujar Dr. Raskidah, yang lebih dikenali sebagai Datin Ras, dalam majlis pelancaran eksklusif ‘9KJ’ yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Acara tersebut berlangsung dalam suasana santai dan penuh gaya, menonjolkan kemewahan dan keanggunan koleksi terbaru mereka.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, Pengasas Bersama Nayli Batrishya Norbik, dan Ketua Pegawai Operasi, Dato Dr. Norbik Bashah Idris. Mereka bersama-sama meraikan ejen dan pelanggan setia dengan pelbagai anugerah seperti ‘Best Customer of the Year’, ‘Best Dress Lady’, ‘Best Dress Couple’, dan ‘Pelanggan Paling Kecil’. Majlis ini juga menyaksikan penghargaan istimewa kepada pelanggan yang telah memberikan sokongan yang sangat berharga kepada jenama ini.

Menurut Dr. Raskidah, inspirasi untuk koleksi ‘9KJ’ datang selepas beliau menjalani perjalanan ke Turki dan London. Di sana, beliau menyaksikan wanita-wanita menghias diri dengan barang kemas 9 karat yang mempunyai kandungan emas sebanyak 0.9%.

“Walaupun emas tulen seperti 999 atau 916 adalah pilihan yang baik untuk pelaburan, emas 9 karat lebih sesuai untuk penggunaan harian. Ia menawarkan reka bentuk yang unik dan elegan, serta boleh ditempah khas mengikut citarasa sendiri,” jelas Datin Ras sambil menunjukkan salah satu rekaan gelang tangan yang bersambung dengan cincin, yang telah menerima 33 tempahan dalam masa hanya tiga hari.

Beliau menambah bahawa emas 9 karat adalah pilihan ideal untuk perhiasan harian dan acara-acara khas, manakala emas 999 atau 916 lebih sesuai untuk tujuan pelaburan.

“Jika anda mahu melabur, emas 999 atau 916 adalah pilihan terbaik. Namun, emas 9K juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia boleh digadai di ArRahnu dan ditukar dengan barang lain mengikut nilainya,” tambah Dr. Raskidah.

Majlis tersebut turut dimeriahkan oleh selebriti terkenal Datin Maria Arshad dan bekas penyanyi realiti AF5, Syafiq Adri Fitri, yang menghiburkan tetamu dengan persembahan lagu ‘Keabadian Cinta’. Suasana malam itu semakin meriah dengan persembahan oleh penyanyi Haqiem Rusli, yang telah dilantik sebagai Duta JOM (Jewels of Malaysia).

Tema majlis ‘Malam Penghargaan dan Pelancaran 9KJ’ adalah ‘Emas/Hitam atau Hitam/Perak’. Para tetamu dihiburkan dengan pertunjukan koleksi emas 9KJ sebelum majlis diakhiri dengan penghargaan kepada ejen jualan dan pelanggan, serta cabutan bertuah yang menarik.

Melihat ke hadapan, Dr. Raskidah merancang untuk mengembangkan francais Trishya&Co ke seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau juga bercadang untuk bekerjasama dengan pereka muda berbakat dalam mencipta barang kemas yang mencerminkan warisan dan budaya Malaysia, dengan acara tersebut dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini. Dengan visi yang jelas dan dedikasi yang kuat, Trishya&Co berhasrat untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri barang kemas tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *