Penantian selama tujuh tahun akhirnya terubat apabila penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz, kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.
Seramai 8,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan persembahan penyanyi terkenal dengan lagu-lagu seperti I’m Yours, Lucky dan I Won’t Give Up itu.
Dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan oleh Zues Event, konsert berkenaan menyaksikan Jason Mraz mempersembahkan sebanyak 20 lagu yang membawa penonton menyelami pelbagai tema, daripada percintaan dan persahabatan hingga mesej positif tentang kehidupan.
Konsert dibuka dengan lagu You and I Both sebelum beliau menyapa peminat dengan ucapan, “Apa khabar, Malaysia? It’s really good to be back.”
Persembahan diteruskan dengan lagu seperti Long Drive, Livin’ in the Moment, Make It Mine, Beautiful Mess, 93 Million Miles dan Have It All.
Menariknya, Jason Mraz turut beberapa kali mengucapkan “terima kasih” dalam bahasa Malaysia ketika berinteraksi dengan penonton. Usaha kecil itu menerima sorakan daripada peminat yang jelas teruja dengan kepulangannya.

Antara momen paling menyentuh hati malam itu ialah ketika lagu I Won’t Give Up dipersembahkan. Ribuan penonton menyanyi bersama, mewujudkan suasana penuh emosi di dalam stadium.
Jason Mraz turut berkongsi bahawa kebanyakan lagu ciptaannya berkisar tentang cinta, perkara yang bermain dalam fikirannya serta mesej positif yang ingin disampaikan kepada pendengar.
Malam tersebut akhirnya ditutup dengan lagu Yours, meninggalkan kenangan manis buat peminat yang hadir.
Dengan hanya gitar, vokal yang tersendiri dan lagu-lagu yang dekat dengan kehidupan, Jason Mraz sekali lagi membuktikan mengapa muziknya terus mendapat tempat di hati peminat.











