Selepas lebih sedekad memberikan tumpuan kepada dunia keusahawanan, Mila Jirin akhirnya kembali ke dunia muzik menerusi single terbaharu berjudul Tersimpan Dalam Hati.
Juara Akademi Fantasia Musim Kelima itu sebelum ini menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan Bizmilla daripada sebuah impian kecil kepada jenama yang dikenali dalam industri perkahwinan, katering dan dewan bankuet.
Sepanjang perjalanannya, Bizmilla telah mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh Malaysia.
Kembalinya Mila bukan sekadar membawa sebuah lagu baharu, tetapi menjadi perjalanan pulang seorang penyanyi yang tidak pernah benar-benar meninggalkan cintanya terhadap muzik.
Tersimpan Dalam Hati merupakan karya balada moden yang mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang dipendam.

Bagi Mila, lagu tersebut bukan sekadar karya baharu, tetapi refleksi perjalanan hidupnya sepanjang lebih sedekad sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni.
Di sebalik pencapaiannya bersama Bizmilla, beberapa tahun kebelakangan ini turut membawa pelbagai cabaran ekonomi kepada industri acara dan hospitaliti.
Seperti kebanyakan syarikat dalam industri tersebut, beberapa keputusan besar terpaksa dibuat bagi memastikan operasi terus kukuh dan peluang pekerjaan ratusan kakitangan dapat dikekalkan.
Dalam kesibukan memikul tanggungjawab itu, impian Mila untuk kembali ke dunia muzik hampir terkubur.
“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih mempunyai ruang dalam hidup saya.
“Tetapi saya percaya jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat,” katanya.
Walaupun jadual perniagaannya semakin padat, keinginan untuk kembali berkarya tidak pernah hilang.
Impian itu tidak pernah mati, sebaliknya hanya tersimpan dalam hati.
Bagi orang lain, Tersimpan Dalam Hati mungkin sekadar sebuah lagu.
Namun, bagi Mila, karya tersebut merupakan sebuah perjalanan yang mengambil masa lebih sedekad sebelum akhirnya dapat diperdengarkan kepada umum.
Bagi memastikan projek kemunculan semulanya tampil dengan kualiti terbaik, Mila menjalani keseluruhan proses rakaman di Jakarta.
Lagu tersebut dicipta oleh komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya ditulis oleh Aisah Rizky.
Mila turut bekerjasama dengan Nova Music bagi urusan pengedaran digital.
Kolaborasi rentas negara itu menghimpunkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia untuk menghasilkan sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar di kedua-dua negara.
Menurut Mila, lagu tersebut hadir tepat pada waktunya.
“Ramai mengenali saya sebagai usahawan. Tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi.
“Dunia muzik adalah tempat saya bermula. Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat,” katanya.
Mila berkata, setiap individu pasti pernah menyimpan sesuatu dalam hati, sama ada cinta, impian mahupun luka.
“Saya dedikasikan lagu ini kepada mereka yang masih percaya bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” katanya.
Tersimpan Dalam Hati merupakan single pertama daripada siri projek kemunculan semula Mila.
Projek tersebut akan diteruskan dengan beberapa karya baharu hasil kolaborasi bersama komposer dari Malaysia dan Indonesia.
Mila turut mengumumkan bahawa beliau sedang menyiapkan sebuah album baharu yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha, melalui Bizmedia Marketing.
Album berkenaan dijangka menghimpunkan karya daripada beberapa komposer Malaysia dan Indonesia sebelum dilancarkan pada penghujung 2026.
Video muzik rasmi Tersimpan Dalam Hati menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga.
Mila turut terlibat secara langsung dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan video muzik tersebut.
Penglibatannya menjadikan karya itu lebih dekat dengan perjalanan emosi yang mahu disampaikan kepada pendengar.
Bagi Mila, Tersimpan Dalam Hati bukan sekadar sebuah lagu baharu, tetapi simbol bahawa impian tidak mempunyai tarikh luput.
Walau sejauh mana seseorang melangkah dalam kehidupan, akan sentiasa ada impian yang menunggu untuk direalisasikan apabila tiba waktunya.
Selepas bertahun-tahun menyimpan impian tersebut, Mila kini bersedia berkongsi semula perjalanan muziknya bersama peminat.
Tersimpan Dalam Hati kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.










