Emma Suhaimi Kembali dengan Single Balada Tersakiti

Selepas sekian lama mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tempatan, penyanyi yang juga penyampai radio Era Sabah, Emma Suhaimi kembali dengan single terbaharu berjudul Tersakiti.

Lagu balada itu mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan sebuah hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Tersakiti merupakan ciptaan sepenuhnya komposer Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari.

Lagu berkenaan hadir dengan melodi menyentuh perasaan serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan individu yang pernah melalui pengalaman percintaan menyakitkan.

Menurut Emma, Tersakiti bukan sekadar lagu cinta mengenai perpisahan. Sebaliknya, lagu itu membawa mesej lebih besar tentang kepentingan mencintai diri sendiri dan keberanian meninggalkan hubungan toksik.

“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih tersakiti.

“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.

Emma berkata, jalan cerita lagu tersebut dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini kerana ramai memilih untuk memendam perasaan dan terus bertahan walaupun menyedari hubungan yang dilalui tidak lagi sihat.

Bercerita mengenai pemilihan Ilham sebagai komposer, Emma mengakui reputasi pencipta lagu itu bukan faktor utama. Sebaliknya, cara Ilham bekerja menjadi sebab lahirnya keserasian sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.

“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman.

“Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya.

Mengulas cabaran terbesar ketika merakamkan Tersakiti, Emma berkata, perkara paling sukar bukan dari sudut teknikal vokal, tetapi memastikan emosi dalam lagu itu benar-benar sampai kepada pendengar.

“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah tersakiti. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya.

Menurut Emma, pengalaman hidup yang pernah dilaluinya sedikit sebanyak membantu proses penghayatan lagu tersebut.

“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.

“Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan. Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya.

Antara bait lirik yang paling dekat di hati Emma ialah, “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam,” yang menurutnya membawa makna besar tentang hakikat kehidupan.

“Lirik itu sangat dekat dengan saya. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita. Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.

Emma berharap Tersakiti mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan, khususnya individu yang selama ini memilih untuk menyimpan luka sendirian.

“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap Tersakiti boleh menjadi suara kepada mereka.

“Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Dalam masa sama, Emma menyifatkan keseluruhan proses pembikinan Tersakiti berjalan lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham.

“Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional. Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya.

Dengan susunan muzik yang menyentuh jiwa, melodi mudah diingati dan lirik sarat dengan makna, Tersakiti diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan Emma dalam arena muzik tempatan.

Single itu juga menjadi pilihan baharu untuk peminat lagu balada yang mengangkat kisah kehidupan sebenar.

Tersakiti kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital utama, manakala muzik videonya boleh ditonton melalui saluran rasmi Nova Music.