Ernie Zakri Lancar Sejambak Bunga di Pentas KLFW 2026

Ernie Zakri membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Sejambak Bunga.

Lagu itu dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen Lerai oleh pereka Zaimi Zulkafli sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026.

Pelancaran tersebut berlangsung pada 8 Ogos 2026 di Esplanade, KLCC Park.

Pemilihan pentas berkenaan mempunyai makna tersendiri apabila konsep koleksi Lerai berkongsi semangat yang selari dengan mesej Sejambak Bunga.

Pertemuan antara muzik dan fesyen memberikan dimensi visual kepada pelancaran lagu tersebut.

Jika muzik menjadi medium Ernie untuk menyampaikan emosi dan cerita, fesyen pula menawarkan bahasa berbeza untuk menterjemahkan perasaan yang sama kepada khalayak.

Ernie berkata, persamaan antara konsep Lerai dan mesej lagunya menjadikan pertunjukan tersebut sebagai pentas sesuai untuk memperkenalkan karya berkenaan.

“Apabila saya memahami konsep Lerai yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin disampaikan melalui Sejambak Bunga.

“Muzik dan fesyen mempunyai cara berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.

Sejambak Bunga memperlihatkan sisi Ernie yang lebih reflektif dan matang.

Lagu tersebut berbicara mengenai bagaimana pengalaman membentuk seseorang serta keberanian untuk menerima, belajar dan terus bergerak ke hadapan.

Menurut Ernie, Sejambak Bunga merupakan lagu tentang kebangkitan selepas melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Setiap pengalaman sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.

Lagu itu dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh.

Sejambak Bunga menjadi karya pertama Ernie yang menerima sentuhan kedua-dua pencipta lagu berkenaan.

Antara mesej penting yang mahu disampaikan menerusi lagu itu ialah kekuatan untuk terus memilih kebaikan meskipun pernah melalui pengalaman yang menyakitkan.

“Tidak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang, kemenangan kita adalah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.

“Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.

Mesej tersebut dekat dengan fasa kehidupan Ernie ketika ini.

Sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan anak seni, beliau melihat perubahan yang dilalui sebagai sebahagian daripada proses mengenali diri dan membina kematangan.

Perjalanan itu turut mempengaruhi caranya mendekati muzik dan menyampaikan cerita kepada pendengar.

Bagaimanapun, Ernie tidak mahu Sejambak Bunga hanya dilihat berdasarkan pengalaman peribadinya.

Beliau berharap setiap pendengar dapat memberikan tafsiran sendiri kepada lagu berkenaan berdasarkan kisah dan pengalaman masing-masing.

“Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya.

“Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada dalam satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.

“Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Secara visual, mawar putih dipilih sebagai simbol utama Sejambak Bunga.

Bunga tersebut membawa makna ketenangan, harapan dan sebuah permulaan baharu.

Ernie berkata, simbol itu mengingatkan bahawa seseorang tidak perlu melupakan pengalaman lalu untuk meneruskan kehidupan.

“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang.

“Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada perkara yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.

Menerusi Sejambak Bunga, Ernie membuka satu lagi ruang dalam perjalanan seninya untuk berkongsi sisi yang lebih dekat dengan dirinya pada hari ini.

Pada masa sama, karya tersebut memberikan peluang kepada pendengar untuk menemukan makna dan cerita mereka sendiri.

Sejambak Bunga kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.