BOSS KID Angkat Kisah ‘Bos Kecik’ Ubah Nasib Keluarga

Usia bukan penghalang untuk mencipta perubahan. Itulah mesej yang dibawakan menerusi BOSS KID, sebuah drama komedi keluarga mengenai seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya melalui kreativiti, keberanian dan kebijaksanaan memanfaatkan media sosial.

Drama 20 episod itu bakal bersiaran menerusi slot Lestary TV3 mulai 21 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9 malam.

BOSS KID mengetengahkan elemen kekeluargaan, keusahawanan dan dunia pencipta kandungan digital yang semakin dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Drama itu dibintangi Syed Irfan, Datuk Fizz Fairuz, Noorkhiriah, Ummar Dzariff dan Qistina Raisah.

BOSS KID mengisahkan keluarga Izham yang berdepan cabaran hidup selepas kehilangan sumber pendapatan.

Ketika keluarga itu berada dalam keadaan serba mencabar, harapan baharu hadir daripada insan yang paling tidak disangka, iaitu anak mereka sendiri.

Petah berkata-kata dan kreatif menghasilkan kandungan digital, Rizqin Irfan lakonan Syed Irfan tidak menyangka minatnya terhadap media sosial bakal menjadi titik perubahan buat keluarganya.

Melihat potensi yang dimiliki oleh anak mereka, Izham lakonan Datuk Fizz Fairuz dan Rafidah lakonan Noorkhiriah mengambil keputusan untuk memanfaatkan pengaruh Rizqin bagi mempromosikan perniagaan keluarga.

Rizqin kemudian dilantik sebagai ‘Bos Kecik’ dalam usaha mereka membangunkan perniagaan Burger Malaysia.

Berbekalkan idea kreatif dan keyakinan tinggi, Rizqin berjaya menarik perhatian ramai sehingga perniagaan keluarganya mula mendapat sambutan.

Namun, gelaran ‘Bos Kecik’ bukan sekadar satu panggilan apabila telatah dan sikapnya yang gemar memberikan arahan kepada ahli keluarga mencetuskan pelbagai situasi lucu.

Di sebalik kejayaan yang mula dikecapi, keluarga Izham turut berdepan pelbagai cabaran apabila muncul pihak yang tidak senang melihat perkembangan perniagaan mereka.

Persaingan, hasad dengki dan pelbagai rintangan mula menguji kekuatan keluarga tersebut dalam mempertahankan perniagaan yang dibina bersama.

Datuk Fizz Fairuz berkata, watak Izham mengetengahkan sisi seorang bapa yang sentiasa mahu memastikan keluarganya terus cekal dalam menghadapi cabaran hidup.

“Watak Izham bagi saya cukup dekat dengan realiti seorang bapa yang mahu memastikan keluarganya terus bertahan walaupun berdepan tekanan hidup.

“Menariknya dalam BOSS KID, orang yang akhirnya menjadi pencetus perubahan bukanlah orang dewasa tetapi anaknya sendiri.

“Hubungan Izham dengan Rizqin juga banyak memberikan ruang kepada elemen komedi, tetapi pada masa sama mempunyai nilai kekeluargaan yang saya rasa boleh dikaitkan oleh penonton dengan kehidupan mereka,” katanya.

Menggabungkan elemen komedi, kekeluargaan, keusahawanan dan dunia pencipta kandungan digital, BOSS KID bukan sekadar drama komedi keluarga.

Drama itu turut membawa mesej bahawa setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam mencipta kejayaan.

Dengan sokongan, kreativiti dan semangat tidak mudah berputus asa, impian besar mampu berkembang meskipun ia bermula daripada idea kecil seorang anak.

Namun, persoalannya, mampukah Rizqin dan keluarganya mempertahankan empayar perniagaan yang dibina bersama apabila berdepan cabaran serta persaingan sengit?

BOSS KID akan menemui penonton mulai 21 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9 malam menerusi slot Lestary TV3.

Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal menerusi platform Tonton atau aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.

Untuk maklumat dan perkembangan terkini, ikuti TV3 melalui platform media sosial rasmi @TV3Malaysia serta Instagram Drama Sangat di @dramasangat.