Tayangan Eksklusif KOKUHO Raih Sambutan Hangat Sebelum Ditayangkan di Malaysia

Filem pecah panggung Jepun, KOKUHO, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Julai 2026. Menjelang tayangan rasminya, 8TV dengan kerjasama Primeworks Studios telah menganjurkan majlis Tayangan Media Eksklusif pada 21 Julai yang menghimpunkan lebih 200 tetamu jemputan terdiri daripada wakil media, peminat filem, pencipta kandungan dan selebriti tempatan. Acara ini memberi peluang kepada mereka menjadi antara individu terawal menyaksikan karya Jepun yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Diadaptasi daripada novel terkenal karya Shuichi Yoshida dan diarahkan oleh Lee Sang-il, filem berdurasi 175 minit ini mengetengahkan tema pengorbanan, cita-cita dan dedikasi dalam mengejar kesempurnaan seni. KOKUHO turut memukau penonton dengan keindahan seni Kabuki menerusi rekaan pentas yang mengagumkan, kostum yang dihasilkan dengan penuh teliti serta persembahan yang menyentuh emosi.

KOKUHO mengisahkan Kikuo lakonan Ryo Yoshizawa, anak kepada keluarga yakuza yang kehidupannya berubah selepas satu tragedi membawanya ke dunia Kabuki. Di situ, dia bertemu Shunsuke lakonan Ryusei Yokohama, pewaris keluarga bangsawan Kabuki. Walaupun berasal daripada latar belakang yang berbeza, kedua-duanya berkongsi perjalanan seni yang sama. Kikuo memiliki bakat semula jadi yang luar biasa, manakala Shunsuke memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi keluarganya. Persaingan yang tercetus akhirnya berkembang menjadi rasa hormat dan persahabatan, menjadikan pentas Kabuki sebagai latar kepada kisah penuh emosi mengenai impian, kecekalan dan warisan seni.

Bagi memastikan lakonan mereka benar-benar autentik, Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama menjalani latihan Kabuki secara intensif selama 18 bulan. Mereka memperhalusi setiap pergerakan, bahasa tubuh dan ekspresi, termasuk menguasai peranan Onnagata, iaitu pelakon lelaki yang membawakan watak wanita dalam teater Kabuki. Kesungguhan serta keserasian mereka menjadi antara faktor utama yang menerima pujian daripada penonton dan pengkritik.

Selain dua pelakon utama tersebut, KOKUHO turut dibintangi oleh Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Nana Mori, Takahiro Miura, Ai Mikami, Soya Kurokawa, Keitatsu Koshiyama, Masatoshi Nagase, Kyusaku Shimada, Emma Miyazawa, Ganjiro Nakamura, Min Tanaka dan Ken Watanabe. Barisan pelakon yang mantap ini berjaya memberikan kedalaman emosi kepada jalan cerita, sekali gus mengukuhkan kedudukan KOKUHO sebagai antara filem Jepun terbaik setakat ini.

Malam tayangan media turut diserikan dengan persembahan secara langsung lagu tema filem berjudul Luminance. Suasana kebudayaan Jepun juga dapat dirasai apabila para tetamu tampil mengenakan busana berinspirasikan Jepun sempena Pertandingan Busana Terbaik. Pemenang pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta barangan eksklusif tajaan SENKA by FineToday.

Bagi meneruskan kehangatan filem ini, 8TV akan menganjurkan sesi perkongsian khas bertajuk “Inside Storytelling: From Idea to the Screen, From Story to Audience” pada 22 Julai, jam 10.30 pagi di Universiti SEGi. Program yang terbuka kepada orang ramai ini menampilkan pengarah filem Malaysia yang pernah memenangi anugerah antarabangsa, Edmund Yeo, bersama Ketua 8TV, Wong Yee Lee, manakala Brandon Chew bertindak sebagai moderator. Perkongsian ini akan mengupas aspek penceritaan, pembangunan kandungan dan penerbitan filem, selain berkongsi pandangan mengenai proses kreatif dalam menghasilkan sesebuah karya.

Dibawakan oleh Primeworks Studios selaku pengedar dan rakan pemasaran rasmi di Malaysia, KOKUHO akan mula ditayangkan di pawagam terpilih di seluruh negara mulai 23 Julai 2026.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai KOKUHO, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios serta akaun rasmi 8TV di Facebook, Instagram, X, YouTube dan Xiaohongshu.