Hock Kee Kopitiam hari ini meraikan pembukaan cawangan kedua berkonsepkan warisan, Hock Kee Heritage di The Gardens Mall, Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuhkan usaha jenama tersebut dalam memelihara budaya kopitiam Malaysia yang kaya dengan sejarah dan tradisi.
Selepas kejayaan pembukaan cawangan pertama Hock Kee Heritage di Medan Pasar pada awal tahun ini, konsep berteraskan warisan itu kini diperluaskan ke lokasi baharu bagi memberikan pengalaman unik kepada lebih ramai pengunjung. Hock Kee Heritage membawa inspirasi daripada keanggunan era kolonial Tanah Melayu, khususnya suasana kelab sosial mewah yang suatu ketika dahulu menjadi tempat pertemuan masyarakat elit.
Reka bentuk ruang Hock Kee Heritage menampilkan elemen seni bina klasik seperti gerbang elegan, ukiran kekisi halus, jubin bercorak Peranakan, kehijauan tropika serta halaman yang memberikan suasana nyaman. Setiap perincian dekorasi dipilih bagi mencipta pengalaman seolah-olah pengunjung kembali menikmati suasana Malaysia zaman dahulu yang penuh dengan nilai budaya dan kemesraan.

Menurut Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, Hock Kee Heritage bukan sekadar sebuah restoran, tetapi sebuah destinasi yang mengajak masyarakat menikmati warisan Malaysia menerusi suasana, hidangan dan layanan yang istimewa.
“Hock Kee Heritage bukan sekadar sebuah restoran, tetapi destinasi yang mengajak orang ramai memperlahankan rentak kehidupan dan menghayati warisan Malaysia menerusi suasana yang elegan, hidangan eksklusif serta layanan yang mesra. Kami berharap setiap kunjungan memberikan pengalaman seolah-olah melangkah ke lembaran sejarah Malaysia yang tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.
Bagi melengkapkan pengalaman warisan tersebut, Hock Kee Heritage turut menawarkan rangkaian menu eksklusif yang menggabungkan cita rasa klasik tempatan dengan sentuhan moden. Antara hidangan istimewa yang ditawarkan termasuk Cheesy Jumbo River Prawn Bee Hoon, Herbal Chicken with Rice serta Heritage Fried Basmathi Rice with Chicken Satay.
Setiap hidangan dihasilkan berasaskan inspirasi resipi nostalgia yang diwarisi turun-temurun, namun diberikan nafas baharu untuk memenuhi citarasa generasi masa kini. Disediakan segar mengikut pesanan menggunakan bahan berkualiti, menu eksklusif Hock Kee Heritage mencerminkan komitmen jenama itu dalam mengekalkan keaslian masakan tempatan.
Selain pengalaman gastronomi, pembukaan Hock Kee Heritage turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan pop tempatan, 1119 TRIPLE1NINE yang mempersembahkan lagu tema rasmi Hock Kee Kopitiam berjudul “KOPITIAM You & Me”.
Lagu tersebut yang ditulis dan digubah oleh artis tempatan Danny Koo telah mendapat sambutan positif apabila video muziknya mencatatkan lebih 260,000 tontonan di YouTube. Karya itu meraikan suasana, bunyi dan cita rasa yang sinonim dengan budaya kopitiam Malaysia, sekali gus mendekatkan elemen tradisi kepada masyarakat pelbagai generasi.

Kerjasama bersama 1119 TRIPLE1NINE turut memperlihatkan komitmen Hock Kee dalam menyokong industri kreatif tempatan serta mengetengahkan bakat Malaysia. Persembahan kumpulan tersebut berjaya menghidupkan lagi suasana pembukaan Hock Kee Heritage menerusi gabungan muzik dan tarian yang penuh tenaga.
Ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 2018, Hock Kee Kopitiam kini berkembang sebagai salah satu jenama kopitiam tempatan yang mempunyai 22 cawangan di seluruh Malaysia. Perkembangan positif itu akan diteruskan menerusi pembukaan cawangan baharu di Puteri Hill, Johor Bahru dalam masa terdekat.
Dengan kehadiran Hock Kee Heritage di The Gardens Mall, jenama ini terus membawa misi untuk mengekalkan budaya kopitiam Malaysia sambil memberikan pengalaman santapan yang menggabungkan sejarah, komuniti dan inovasi dalam satu destinasi.













