Nasyid Friday Bawa Gelombang Baharu Hiburan Islami Buat Anak Muda

Dalam usaha menghidupkan semula industri nasyid dengan pendekatan lebih dekat, pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan tampil memperkenalkan sebuah projek khas dikenali sebagai Nasyid Friday. Berinspirasikan keberkatan hari Jumaat serta pengaruh besar hiburan dan media sosial dalam kehidupan anak muda masa kini, projek tersebut diwujudkan sebagai platform alternatif yang menggabungkan elemen seni, dakwah dan kerohanian dalam satu gerakan moden.

Menurut Adnin yang juga bertindak selaku pengarah dan penerbit projek berkenaan, Nasyid Friday bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya membawa misi untuk menyampaikan mesej positif serta mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai Islam melalui karya seni yang lebih relevan dengan zaman kini. Projek itu dijadual bermula pada Jun 2026 sehingga Januari 2027 dengan pelancaran karya baharu pada setiap Jumaat. Menariknya, ia melibatkan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid yang bakal tampil dengan lagu serta video muzik berunsurkan kerohanian dan motivasi kehidupan.

Antara nama yang terlibat ialah Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band. Adnin berkata, pemilihan hari Jumaat dibuat kerana ia dianggap penghulu segala hari dan sesuai dijadikan simbol penyebaran karya yang membawa ketenangan serta nilai dakwah kepada masyarakat.

Katanya, anak muda hari ini sangat dekat dengan muzik, visual dan media sosial, justeru pendekatan dakwah juga perlu berkembang selari dengan perubahan zaman agar mesej yang disampaikan lebih mudah diterima dan menyentuh hati. Tambah beliau, Nasyid Friday turut membawa misi besar untuk menghidupkan kembali pengaruh nasyid yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, selain mengetengahkan isu berkaitan remaja dan kehidupan generasi muda melalui karya yang lebih moden dan berkualiti.

Kumpulan Fetya

Dalam masa sama, kumpulan Fetya pula memilih untuk mengetengahkan tema perjuangan Palestin menerusi karya mereka dalam projek tersebut. Wakil kumpulan itu, Bilal, menyifatkan Palestin sebagai simbol kebebasan, kekuatan iman dan kesatuan yang perlu difahami masyarakat. Sementara itu, wakil kumpulan Rabithah, Ridwan berharap masyarakat dapat terus menyokong karya dakwah yang dihasilkan kerana ia bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk mendidik jiwa dan membawa manusia kembali mendekati Allah.

Lebih menarik, projek Nasyid Friday turut bakal menampilkan beberapa selebriti tempatan sebagai artis jemputan termasuk Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari dalam beberapa album yang sedang berada di peringkat produksi. Selain penghasilan lagu, Tarbiah Sentap turut merancang menerbitkan sekitar 200 kandungan dakwah setiap bulan termasuk video media sosial, sketsa dakwah, penerbitan buku dan siri jelajah dakwah di seluruh negara.

Adnin berharap Nasyid Friday mampu menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula seni dakwah moden di Malaysia serta membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan penuh makna.