Dalam pelukan kasih yang membesarkan seorang anak, tersimpan harapan dan doa yang tidak pernah putus. Namun apabila langkahnya mula menjauh daripada dunia yang membesarkannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Persoalan inilah yang diangkat dalam Original Series terbaharu berjudul Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah naskhah 10 episod yang menyelami sisi rapuh hubungan antara ibu bapa dan anak, serta pilihan hidup yang mampu membawa padah.
Diterajui barisan pelakon hebat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail, drama arahan Amor Rizan ini bakal mula bersiaran di Tonton bermula 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa pada jam 12.00 tengah malam. Berlatarbelakangkan sebuah keluarga yang diuji oleh kasih sayang yang mula dipersoalkan, Anugerah Tanpa Cahaya mengangkat konflik emosi antara seorang anak yang mendambakan kehidupan lebih baik dan ibu bapa yang hanya mampu memberi seadanya.
Kisah ini bermula apabila Bahar (Azhan Rani) dan Tijah (Amyza Aznan) menemui seorang bayi yang ditinggalkan di luar rumah mereka. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk membesarkannya sebagai anak angkat dan menamakannya Husna. Dibesarkan dengan limpahan kasih sayang, Husna (Puteri Balqis) menjadi pusat dunia Bahar. Namun lama-kelamaan, Tijah mula berasa resah apabila Bahar terlalu memanjakan Husna dan menuruti hampir setiap kehendaknya.
Apabila meningkat remaja, Husna mula memberontak. Dia sering ponteng sekolah, menipu dan mencuri kerana didorong oleh keinginan untuk keluar daripada kehidupan serba kekurangan yang dirasakannya selama ini. Husna akhirnya melarikan diri dari rumah dan terjerumus dalam hubungan dengan Zafran (Hafeez Mikail), seorang lelaki yang mempunyai sisi gelap, sekali gus menjauhkannya daripada keluarga yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
Puteri Balqis yang berkongsi tentang wataknya menjelaskan bahawa Husna bukanlah seorang remaja yang dilahirkan bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang sedang berusaha menyesuaikan diri dengan dunia di sekelilingnya. Menurutnya, sebagai remaja pasti wujud pelbagai cabaran dan perubahan emosi kerana pada usia tersebut seseorang sedang mengenal dunia serta mencari identiti diri. Dalam proses itu, kadangkala seseorang membuat pilihan yang salah, namun daripada kesilapan itulah datangnya pembelajaran dan kesedaran. Bagi beliau, Husna hanyalah seorang remaja yang sedang mencari tempatnya dalam dunia, walaupun jalan yang dipilihnya memberi kesan kepada dirinya sendiri dan juga orang di sekelilingnya.
Anugerah Tanpa Cahaya tampil sebagai sebuah kisah yang sarat dengan emosi dan pengajaran, sesuai ditonton sepanjang bulan Ramadan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama ini secara eksklusif di Tonton bermula 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa pada jam 12.00 tengah malam.
Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.