Malaysia Negara Ketiga Tertinggi Tontonan The Voice of Hind Rajab Selepas 21 Hari Tayangan

Filem berteraskan kemanusiaan, The Voice of Hind Rajab, terus mencatat pencapaian membanggakan apabila Malaysia kini muncul sebagai negara ketiga tertinggi di dunia dari segi jumlah tontonan, hanya berada di belakang Perancis dan Itali, sekali gus mengatasi Belgium dan Sepanyol.

Selepas 21 hari ditayangkan, filem ini telah merekodkan lebih 60,000 jualan tiket di seluruh negara, membuktikan sokongan padu penonton tempatan melalui Gerakan Suara Malaysia terhadap karya yang mengangkat nilai empati, kemanusiaan dan solidariti sejagat. Ditayangkan di 47 lokasi pawagam di seluruh Malaysia, The Voice of Hind Rajab menunjukkan peningkatan tontonan yang konsisten dari hari ke hari.

Momentum positif ini dijangka terus berkembang seiring peningkatan kesedaran awam serta sokongan berterusan masyarakat terhadap naskhah yang menyentuh realiti kemanusiaan global. Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan filem tersebut di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keterbukaan penonton tempatan dalam menghargai karya sinematik yang sarat mesej mendalam dan berimpak tinggi.

The Voice of Hind Rajab diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films, dengan Primeworks Studios bertindak sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi di Malaysia. Filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor dari Tunisia, Kaouther Ben Hania, yang dikenali dengan sentuhan penceritaan berani dan berjiwa.

Filem ini dibintangi barisan pelakon antarabangsa termasuk Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury, yang berjaya menghidupkan kisah ini melalui persembahan penuh emosi dan kejujuran.

Lebih daripada sekadar sebuah filem, The Voice of Hind Rajab merupakan satu bukti, rakaman sejarah dan suara yang kekal abadi. Diangkat daripada kisah benar yang menyentuh jiwa, filem ini mengajak penonton merenung makna kemanusiaan, kehilangan dan harapan dalam situasi paling getir.

Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima turut menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, sekali gus menjadikan setiap tontonan satu bentuk sokongan nyata.

Hayati sendiri inspirasi kisah benar yang menyentak emosi ini di minggu terakhir tayangan dan teruskan menjadi sebahagian daripada Gerakan Suara Malaysia.