TV3 Belanja Gunting Rambut Percuma Untuk Murid, Sambut Musim Sekolah Dengan “NIMROC Gunting, Gaya TV3

Musim kembali ke sekolah bakal tiba dan bagi meringankan beban keluarga serta menyemarakkan semangat permulaan tahun baharu, TV3 dengan kerjasama NIMROC mengajak orang ramai memeriahkan program tanggungjawab sosial korporat “NIMROC Gunting, Gaya TV3” yang akan berlangsung pada Sabtu, 10 Januari 2026 di NIMROC Maluri.

Berteraskan mesej “Ringankan Beban, Kekalkan Gaya”, program ini merupakan inisiatif prihatin yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 10 tahun daripada keluarga kurang berkemampuan, bagi memastikan mereka dapat melangkah ke alam persekolahan dengan penampilan yang kemas serta keyakinan baharu.

Program ini bukan sekadar sesi gunting rambut, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan yang akan menambah seri acara. Kehadiran Maskot Ejen Ali pula dijangka membawa keceriaan tersendiri kepada kanak-kanak, sekali gus menjadikan pengalaman ini lebih istimewa buat seisi keluarga dalam suasana yang santai, mesra dan penuh gelak tawa.

Inisiatif ini diwujudkan bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat memulakan hari pertama persekolahan dengan penuh keyakinan tanpa dibebani kos persiapan asas. Lebih daripada itu, program ini mencerminkan komitmen berterusan TV3 dan NIMROC dalam menyokong komuniti serta mendekati masyarakat melalui inisiatif yang memberi impak positif dan bermakna.

Orang ramai dijemput hadir bersama anak-anak dan memanfaatkan perkhidmatan istimewa yang disediakan. Program ini terhad kepada 100 murid sahaja, oleh itu kehadiran awal amat digalakkan bagi memastikan anak-anak tidak terlepas peluang menyertai pengalaman yang menyeronokkan ini.

Jangan lepaskan peluang untuk memulakan musim persekolahan baharu dengan penuh gaya dan senyuman. Ayuh sertai TV3 dan NIMROC dalam menyemarakkan semangat kembali ke sekolah melalui program “NIMROC Gunting, Gaya TV3”.

Untuk maklumat terkini dan kandungan eksklusif, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat @dramasangat.