LSH Service Master Sdn. Bhd., selaku pengurusan terkini Kuala Lumpur Tower, bakal menganjurkan acara larian menara paling dinanti-nantikan, iaitu Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2025 (KLTRIC2025). Acara yang berlangsung pada Ahad, 30 November 2025 bermula jam 5.00 pagi ini menandakan edisi ke-23 penganjurannya, dan tahun ini ia diiktiraf secara rasmi oleh Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA) sebagai Kejohanan Rasmi Kebangsaan (Towerrunning Malaysia) 2025.
Kini dikenali sebagai Sukan Warisan Kuala Lumpur Tower, KLTRIC2025 terus mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan global dalam acara larian menara. Bertemakan “Victory is Vertical”, acara ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal para peserta, tetapi turut meraikan semangat juang, perpaduan dan kebanggaan negara dengan menghimpunkan pelari elit dan peminat kecergasan dari seluruh dunia. Seramai 1,500 peserta dijangka akan menakluki 1,608 anak tangga setinggi 292 meter dari aras tanah.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman, berkata Kuala Lumpur Tower berbangga menjadi tuan rumah acara yang telah melakar banyak detik bersejarah ini. Salah satu pencapaian paling membanggakan adalah kejayaan Michele Tan Bee Kiang yang mencatat Rekod Dunia Guinness bagi wanita terpantas menamatkan “vertical mile” dengan masa 1 jam 33 minit—bersamaan mendaki Kuala Lumpur Tower sebanyak 6.5 kali berturut-turut. Beliau turut menyatakan bahawa KLTRIC2025 menjadi platform penting untuk menyerlahkan potensi atlet Malaysia, sejajar dengan visi menjadikan Kuala Lumpur Tower sebagai hab pelancongan sukan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebagai Kejohanan Rasmi Kebangsaan (Towerrunning Malaysia), KLTRIC2025 memainkan peranan penting dalam memperkasa agenda sukan negara dengan menyokong pembangunan industri sukan berprestasi tinggi, memupuk gaya hidup sihat dan menyemai semangat perpaduan melalui penglibatan masyarakat secara aktif. Acara ini juga membantu merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar sukan bertaraf dunia, selaras dengan inisiatif “Sukan Untuk Semua” dan Visi Sukan Negara 2030.
KLTRIC2025 turut diiktiraf sebagai World Championship Points Race oleh Towerrunning World Association (TWA), di mana pelari tangga elit antarabangsa akan bertanding bagi mengumpul mata ke arah kedudukan dunia. Antara atlet elit yang bakal menyertai edisi tahun ini ialah juara dunia dan pelari tangga nombor satu dunia, Soh Wai Ching, yang kembali beraksi untuk mempertahankan kedudukannya di tanah air.
Untuk kategori dan kumpulan umur, KLTRIC2025 menawarkan penyertaan bagi Lelaki dan Wanita Terbuka (19–40 tahun), Remaja Lelaki dan Perempuan (13–18 tahun), Lelaki dan Wanita Veteran (41 tahun ke atas) serta kategori Elit untuk atlet yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Selain itu, 20 peserta terpantas dalam setiap kategori akan menerima Jersi Finisher Eksklusif, manakala pelari Malaysia terpantas bagi kategori Elit Lelaki dan Wanita akan dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan (Towerrunning Malaysia) 2025 dengan pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Towerrunning Malaysia.
Acara ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan kerjasama termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Rakan Muda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), BOMBA, PDRM, Tourism Malaysia dan MTA. Turkish Airlines tampil sebagai penaja utama, selain JomRun sebagai rakan strategik bersama pelbagai penaja lain daripada industri makanan, sukan, pelancongan dan gaya hidup.
Pendaftaran kini dibuka dan para atlet serta peminat sukan larian dijemput menyahut cabaran KLTRIC2025. Mereka boleh mendaftar melalui pautan rasmi www.jomrun.com/event/Kuala-Lumpur-Tower-Run-International-Challenge-2025. Acara penuh adrenalin ini menjanjikan pengalaman luar biasa yang menguji ketahanan mental dan fizikal, dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM80,000 ditawarkan kepada para pemenang.
Untuk maklumat lanjut mengenai KLTRIC2025, layari www.kltower.com atau hubungi Talian Khidmat Pelanggan Kuala Lumpur Tower di +603-2630 3033.