Pada 30 Ogos 2025, Menara Kuala Lumpur sekali lagi bakal menjadi lokasi tumpuan utama sambutan Malam Ambang Merdeka. Tahun ini, pengunjung akan disajikan panorama malam yang penuh warna dan memukau dengan pertunjukan bunga api 360 darjah dari tiga lokasi pelancaran serentak , pertama kali dalam sejarah Menara Kuala Lumpur.
Acara ini adalah sebahagian daripada usaha Menara Kuala Lumpur untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil mempamerkan kemeriahan, semangat perpaduan, dan kepelbagaian budaya kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Malam Penuh Hiburan dan Kenangan
Bermula jam 9.00 malam hingga 12.30 tengah malam, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung sambil menikmati pemandangan indah langit Kuala Lumpur yang gemerlapan. Puncak acara ialah pertunjukan bunga api 360° dari tiga lokasi pelancaran yang menjanjikan pengalaman visual luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jadual Acara (30 Ogos 2025)
- 9.00 malam — Kemasukan untuk pemegang tiket
- 9.30 malam — Persembahan busking oleh The Sky Band
- 11.30 malam — Kiraan detik Ambang Merdeka
- 12.00 tengah malam — Pertunjukan bunga api bermula
- 12.30 tengah malam — Acara tamat
Tempat Terhad – Nikmati Pemandangan Ikonik
Hanya 1,200 pengunjung akan menikmati pengalaman eksklusif ini dari tiga lokasi tontonan:
- Observation Deck – 400 orang
- Sky Terrace – 200 orang
- Tower Terrace – 500 orang
Tiket boleh dibeli di: www.kltower.com (tertakluk pada terma dan syarat).
Alamat: No. 2, Jalan Punchak Off Jalan P. Ramlee, 50250 Kuala Lumpur
Telefon: +603 2020 3033
E-mel: info@kltower.com

Sebahagian Daripada Sambutan Kebangsaan Sebulan Penuh
Pertunjukan istimewa ini adalah antara beberapa program bertemakan patriotik yang dianjurkan Menara Kuala Lumpur sepanjang Ogos dan September sempena Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan, dan Hari Malaysia 2025. Antara acara lain termasuk:
- Light Up Malaysia – Colours of Unity
- Pertandingan Lagu Patriotik Gema Merdeka
- Pertandingan Padu Tarik & Tebar Canai
- Sayembara Puisi Kemerdekaan
Semua program ini bertujuan menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, meraikan kepelbagaian budaya, dan mengukuhkan status Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan ikonik negara.
Kata CEO Menara Kuala Lumpur, Encik Khairil Faizal Hj Othman:
“Sambutan tahun ini sangat istimewa kerana buat pertama kali dalam sejarah Menara Kuala Lumpur, pertunjukan bunga api akan dilancarkan dari tiga lokasi berbeza serentak. Ini memberi pengalaman 360° yang tiada tandingan pada malam penuh makna ini. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berbangga dapat menampilkan yang terbaik kepada semua pengunjung.”
Menara Kuala Lumpur menjemput seluruh rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa untuk hadir bersama meraikan malam bersejarah ini ,di mana semangat patriotisme bersatu dengan keindahan langit ibu kota. – Tehtariktimes









