Patahati Universe: Noh Salleh dan Insomniacks Bersatu Dalam Malam Terapi Jiwa di Melaka

Sebuah malam istimewa yang menyentuh hati bakal tercipta di kota bersejarah apabila Perayaan Patahati Universe membuka tirai edisi sulungnya pada 23 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka. Menampilkan Noh Salleh dan Insomniacks selaku teraju utama, konsert ini mengangkat tema kesedaran kesihatan mental dan penyembuhan emosi dalam bentuk persembahan muzik yang puitis dan mendalam. Berbekalkan tagline “Himpunan Warga Patahati”, acara ini dijangka menjadi medan pelarian bagi hati-hati yang pernah luka, namun masih mencari cahaya untuk sembuh.

Pengarah Projek, Cassandra, menyifatkan konsert ini sebagai pelukan hangat buat mereka yang pernah dikhianati rasa, dihanyutkan perasaan dan kehilangan arah. “Perayaan ini adalah tentang kita semua. Ia sebuah ruang selamat untuk menangis, tersenyum, dan melepaskan semuanya bersama-sama,” ujar Cassandra. Dengan durasi hampir tiga jam, konsert ini menjanjikan perjalanan penuh emosi yang digarap melalui alunan lagu menyentuh jiwa daripada barisan pemuzik hebat seperti Noh Salleh, Insomniacks, Cherpen, Kucaimars dan Rijeu sebagai pembuka pentas.

Panggung Bangsawan Melaka yang menjadi lokasi acara bukan sekadar latar persembahan, malah lambang kebangkitan seni dan budaya Melaka. Terletak di zon buffer UNESCO, lokasi ini pernah menjadi panggung Cathay dan telah dinaik taraf menjadi hab seni oleh Perbadanan Melaka (MCorp) sejak 2024. Mampu menampung 1,500 penonton, ia menjadi pentas ideal untuk merangkul ribuan hati yang ingin turut serta dalam momen penyembuhan kolektif ini.

Tiket kini boleh didapati melalui ilassotickets.com pada harga RM109 (Patahati – Berdiri), RM129 (Jatuhati – Duduk), dan RM159 (Luluhati – Duduk). Pasangan pula boleh mendapatkan harga istimewa sebanyak RM196. Penonton bukan sahaja akan dibuai 25 lagu galau dan healing, tetapi turut dibawa menyusuri kisah dan mesej positif melalui tayangan drama pendek serta suara latar daripada pempengaruh motivasi terkenal, Fiq Sam.

Menariknya, elemen interaktif turut diterapkan dalam persembahan, menjadikan setiap detik penuh makna. Cassandra menjelaskan, “Kami mahu penonton bukan sekadar hadir menonton, tapi merasa disayangi dan dihargai. Malam itu adalah tentang mereka.” Sempena sambutan istimewa ini, penonton yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 23 Ogos juga akan diraikan dalam segmen Hari Lahir Warga Patahati, menjadikan konsert ini lebih peribadi dan beremosi.

Perayaan Patahati Universe bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah deklarasi bersama – bahawa dalam kegelapan patah hati, masih ada cahaya harapan. Dengan kerjasama Panggung Bangsawan, Tourism Melaka, Mewah Event Management dan iLasso Tickets sebagai rakan strategik, konsert ini dijangka mencipta kenangan manis dan bermakna buat semua warga Patahati.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah malam penyembuhan ini. Temui semula kekuatan dalam diri anda – dengan irama, lirik dan kasih sesama insan. – Tehtariktimes