Sisi Manis Cece Caramel: EP ‘Caramelting’ Jadi Luahan Perjalanan Seni Sang Solois

Penyanyi solois berbakat, Cece Caramel, kini secara rasminya memulakan babak baharu dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran EP sulung berjudul “Caramelting”. Karya ini merupakan sebuah naskhah istimewa yang merakamkan evolusi artistik beliau daripada seorang pencipta kandungan kepada seorang pemuzik profesional yang matang. Dihasilkan sepenuhnya di Seoul, Korea Selatan, nama “Caramelting” membawa simbolik kehangatan dan kemanisan emosi yang ingin disampaikan oleh Cece kepada setiap pendengarnya menerusi gabungan pelbagai genre muzik.

EP ini menampilkan tiga buah lagu utama yang menyerlahkan sisi dinamik vokal beliau bermula dengan naskhah pembuka berjudul ‘Fling Thing’. Lagu yang mendapat sentuhan samUIL, seorang penerbit muzik berprofil tinggi dengan pencalonan Grammy, membawakan irama pop yang ceria dan melodi yang mudah diingati sehingga berjaya menarik perhatian ribuan pendengar di pasaran Asia termasuk Taiwan dan Hong Kong. Seterusnya, Cece mempamerkan sisi vokal yang lebih intim dan emosional menerusi lagu ‘Say Less’ yang berkonsepkan K-ballad. Lagu ini mengeksplorasi kejujuran perasaan yang mendalam dan telah mendapat pengiktirafan dalam pelbagai senarai main popular di platform Spotify dan YouTube Music.

Bagi melengkapkan kepelbagaian dalam EP ini, lagu ‘Buzzin’ yang diterbitkan oleh Highkey Music dari United Kingdom hadir dengan tenaga pop yang rancak dan bertenaga untuk menghidupkan suasana di atas pentas. Sepanjang proses pembikinan di Korea Selatan, Cece berpeluang menjalani latihan vokal dan bengkel muzik profesional di bawah bimbingan samUIL yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan kumpulan ikonik K-Pop seperti SEVENTEEN dan NCT DREAM. Dengan kualiti produksi bertaraf antarabangsa, “Caramelting” kini boleh dinikmati oleh peminat muzik di seluruh dunia melalui semua platform penstriman digital utama.