Filem Aksi Baru Angkat Semangat Juang Skuad Badminton Negara

Sebuah karya epik yang menyatukan semangat sukan dan nasionalisme bakal direalisasikan menerusi filem Sentuhan Wira, hasil cetusan idea dua wira badminton negara Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit. Filem terbitan Victory Pictures ini diumumkan secara rasmi dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Grand Hyatt Kuala Lumpur, disaksikan oleh wakil FINAS, YB Dato’ Gerald Hans Isaac.

Mengangkat momen bersejarah kejayaan Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992, filem ini akan mengetengahkan perjalanan penuh perjuangan, semangat berpasukan, serta detik-detik dramatik menewaskan gergasi badminton dunia, Indonesia, dalam perlawanan akhir yang mencengkam jiwa. Disokong oleh penyelidikan teknikal daripada barisan legenda sendiri, Sentuhan Wira dijanjikan sebagai sebuah naskhah autentik yang menyentuh semangat kebangsaan.

Datuk Rashid Sidek berkata, “Kami mahu generasi hari ini merasai semangat yang menyatukan negara ketika itu. Ini lebih daripada sebuah filem sukan ia lambang perjuangan dan cinta kepada tanah air.”

Membawa sentuhan pengarahan Lenny Ooi, filem ini akan menampilkan gaya visual moden dengan penggunaan kamera kadar bingkai tinggi (high frame rate) dan suntingan bertenaga untuk memberi kesan realisme kepada babak perlawanan.

Menariknya, pihak produksi turut mengumumkan akan mengadakan sesi uji bakat terbuka di seluruh negara. Selain mencari pelakon berpengalaman, produksi juga mahu membina pelakon generasi baru yang mempunyai semangat era 90-an serta kemahiran sebenar bermain badminton. Nilai-nilai seperti disiplin, keberanian dan semangat patriotik menjadi antara kriteria utama pemilihan.

Penggambaran penuh dijadual bermula hujung tahun 2025 dan kini persiapan sedang giat dijalankan. Sentuhan Wira bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu usaha kebudayaan untuk mengabadikan sejarah dan menyemarakkan kembali semangat perpaduan nasional. – Tehtariktimes