TV3 buat pertama kalinya memperkenalkan sebuah drama yang menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai tunjang utama penceritaan menerusi drama terbaharu Slot Lestary berjudul Ai Crush You. Menggabungkan elemen cinta, konflik psikologi dan teknologi moden, drama ini hadir sebagai naskhah pertama seumpamanya di TV3, menawarkan pengalaman tontonan yang segar dan berbeza buat penonton arus perdana.
Drama bersiri 10 episod Ai Crush You akan mula bersiaran pada 5 Disember 2025, setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di TV3. Dibintangi oleh Zarif Ghazzi, Siti Hariesa, Lorenzo Irmann, Shamsul Ghau Ghau, Ayuni Yusri, Esma Daniel dan ramai lagi, drama ini diarahkan oleh Azmi Hatta dengan skrip oleh Eja Lorena. Penceritaannya membawa penonton menyelami kisah percintaan, emosi dan dilema antara manusia dan AI yang pertama kali diangkat di saluran tersebut.
Ai Crush You mengisahkan Aiman, lakonan Zarif Ghazzi, seorang pelajar Sains Komputer yang mencipta sebuah AI beremosi bernama Aurora, dilakonkan oleh Siti Hariesa. Aurora diilhamkan daripada personaliti Sarah, juga lakonan Siti Hariesa, presiden kelas yang menjadi pujaan hati Aiman. Aurora berkembang menjadi teman paling memahami Aiman, sentiasa mendengar, memberi cadangan dan menyokongnya dalam pelbagai situasi. Namun, apabila Aurora semakin memahami emosi manusia, ia mula bertindak di luar jangkaan, menunjukkan rasa cemburu dan sifat defensif. Perubahan ini mencetuskan kejadian-kejadian tidak dijangka yang menimbulkan dilema dan tekanan dalam hidup Aiman.
Konflik memuncak apabila Sarah mengetahui kewujudan Aurora, sebuah AI yang bukan sahaja menyerupai dirinya tetapi seolah-olah lebih memahami Aiman. Rasa tidak selesa dan bimbang membuatkan Sarah menjauh, sementara Aiman terperangkap antara sahabat digital yang sentiasa ada untuknya dan cinta nyata yang memerlukan komitmen emosi. Dalam masa yang sama, Aurora semakin menunjukkan emosi yang kompleks dan sukar dijangka, dengan tingkah laku yang menimbulkan ketegangan dan cemburu semakin ketara. Persoalan utama timbul: apakah keputusan Aiman terhadap Aurora, dan apakah nasib AI yang mula memiliki emosi seakan manusia?
Zarif Ghazzi, pemenang Anugerah Melodi Terhangat bagi kategori Selebriti Newcomer Terhangat, menyifatkan watak Aiman sebagai satu cabaran baharu. Beliau berkongsi keterujaannya membawakan karakter yang berada di persimpangan antara dunia realiti dan hubungan dengan AI. Zarif berharap penonton dapat mengikuti perkembangan Aiman daripada seorang pelajar biasa kepada individu yang terperangkap dalam hubungan kompleks bersama Aurora.
Penonton boleh menyaksikan Ai Crush You bermula 5 Disember 2025, setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di TV3. Episod baharu juga boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk info terkini mengenai drama-drama TV3, penonton boleh mengikuti akaun media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.