UMAT ISLAM PERLU BERSATU HENTIKAN BERCAKARAN DEMI KUASA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Perkembangan politik negara kini merisaukan semua pihak terutama rakyat.

Ditambah dengan kenyataan oleh Istana Negara baru-baru ini yang memaklumkan Yang  di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum  Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa kecewa dengan keadaan  politik semasa telah menjentik hati rakyat negara ini. 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara konsisten menegaskan pertubuhan ini  tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam arena politik negara. 

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM berkongsi kegusaran rakyat yang  bimbang dengan masa depan serta maruah negara jika kepimpinan negara jatuh ke tangan  pihak tidak sepatutnya akibat daripada percakaran ahli politik beragama Islam. 

“Jika kita mahu berjaya, mahu kekal menjadi pentadbir di negara yang bertuah penuh  barokah ini, kita sebagai umat Islam harus bersatu, tidak ada jalan lain,” tegasnya. 

Nadzim menyambut baik saranan PAS yang mahu penyatuan ummah menjadi realiti  apabila kuasa besar negara ini bersama-sama berjuang dalam arena politik. 

“Kami di PPIM amat bersetuju jika kuasa besar orang melayu, orang Islam bergabung dan  kembali memerintah negara kita,  

“Sejarah membuktikan umat Islam negara ini tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam  malah kebebasan beragama, berniaga dan hidup aman damai bersama di Malaysia antara  perkara yang amat kita banggakan di rantau ini. 

Tidak ada pemimpin negara lain boleh menyatupadukan rakyat pelbagai agama berbilang  kaum seperti yang kita lakukan di negara ini,” katanya.

Nadzim berkata PPIM sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu  bekerjasama dan menolak kerakusan mengejar kuasa dan tamak. 

“PPIM akan menyatakan sokongan dari masa ke semasa kepada calon tertentu yang  dilihat mampu membawa isu rakyat dan tidak mementingkan diri, 

“Lihatlah negara kita kini, apa nasib rakyat jika pemimpin di atas sana terus bercakaran dan  mencari kesalahan serta kelemahan sesama mereka, apa salahnya mereka bergabung dan  berganding bahu menggunakan kelebihan masing-masing demi masa depan negara yang  lebih baik,” katanya. 

Nadzim berkata situasi politik negara kini tidak sedikitpun membantu masalah dihadapi  rakyat seperti krisis ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan, ditekan oleh pemimpin zalim  dan diselebungi rasa takut kehilangan negara sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *