Tiket Konsert SenarioUnion 30 Tahun Hampir Habis, Kategori Tempat Duduk Baharu Dibuka

Sambutan luar biasa peminat terhadap konsert “The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun” menyaksikan sebahagian besar tiket hampir habis terjual, sekali gus mendorong pihak penganjur membuka kategori tempat duduk tambahan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026 di Idea Live Arena itu dijangka menjadi acara bersejarah buat kumpulan komedi legenda tanah air, Senario, yang meraikan perjalanan seni mereka selama tiga dekad dalam industri hiburan tempatan.

Gabungan enam anggota utama iaitu Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Ahmad, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya menjadikan kumpulan itu terus kekal sebagai ikon komedi yang relevan di hati peminat. Bersempena ulang tahun ke-30, mereka tampil dengan nama SenarioUnion yang melambangkan evolusi serta kesinambungan legasi komedi yang telah menceriakan rakyat Malaysia sejak era 1990-an.

Menurut Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, kira-kira 80 peratus tiket telah habis terjual sejak jualan dibuka. Susulan permintaan tinggi daripada peminat, pihak penganjur bersetuju membuka kategori tempat duduk tambahan yang dinamakan “Usik Mengusik”. Beliau berkata mereka amat terharu dengan sokongan peminat dan disebabkan masih ramai yang mencari tiket, beberapa kerusi tambahan dibuka walaupun jumlahnya terhad kerana kapasiti venue.

Tambahnya lagi, hanya sekitar 200 tempat duduk tambahan dapat disediakan di bahagian belakang dewan bagi memberi peluang kepada peminat yang terlepas pembelian tiket lebih awal. Konsert anjuran Dreamscape Events dengan kerjasama Kapla Entertainment itu turut menawarkan beberapa kategori tiket seperti Motor Kapchai (RM138), Cinta Berkarat (RM188), Lip Lap Lip Lap (RM268), Sebelum dan Sesudah (RM268), Cinta Sate (RM288), Cari Tapak (RM388) dan Cepat Kaya (RM488).

Menariknya, konsert ini dirancang sebagai hiburan mesra keluarga dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan hadir. Mengulas persiapan konsert, Azlee memaklumkan latihan rasmi akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan setiap segmen persembahan berjalan lancar.

Berbeza daripada konsert biasa, “The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun” bakal menampilkan gabungan nyanyian, sketsa komedi serta interaksi spontan bersama penonton. Persembahan itu juga akan diserikan dengan kemunculan artis jemputan istimewa selain segmen khas bertemakan sambutan Hari Raya. Konsert ini dijangka menjadi sebuah persembahan nostalgia yang bukan sahaja meraikan perjalanan seni Senario selama tiga dekad, malah sebagai penghargaan kepada peminat yang setia menyokong mereka sejak dahulu hingga kini.