Syria Care melakar sejarah baharu perjuangan kemanusiaan apabila melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief, sebuah organisasi yang berperanan memperluaskan misi kemanusiaan Malaysia ke peringkat global, selain terus memberi tumpuan kepada keperluan dalam negara. HUMAM Relief ditubuhkan pada tahun 2024 hasil pengalaman dan kejayaan Syria Care yang telah lebih sedekad berkhidmat di bumi Syam, dan kini tampil dengan visi lebih luas bagi memberikan bantuan kecemasan serta membina masa depan yang lebih mampan dan bermaruah untuk komuniti rentan di seluruh dunia.
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, HUMAM Relief diwujudkan sebagai kesinambungan perjuangan kemanusiaan Syria Care dengan mandat yang lebih besar. Syria Care akan kekal fokus membantu di Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief menggalas peranan membawa pengalaman itu ke pentas global. Beliau menegaskan, setiap bentuk bantuan yang disalurkan perlu menghormati identiti, budaya dan maruah masyarakat agar mereka bukan sekadar mampu bertahan hidup, tetapi hidup dengan bermartabat.
Walaupun baharu setahun berdaftar, HUMAM Relief telah melaksanakan pelbagai projek awal di beberapa negara. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah rosak akibat konflik di Syria, serta projek W.A.S.H (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia yang turut memberi penekanan kepada inisiatif kebersihan wanita dan kesihatan haid melalui kerjasama dengan agensi kerajaan serta badan korporat. HUMAM Relief turut menyasarkan projek-projek mampan yang mampu memberi kesan jangka panjang dalam meningkatkan taraf hidup komuniti rentan di dalam dan luar negara.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan logo baharu Syria Care yang mencerminkan aspirasi dan perjalanan organisasi ke arah lebih matang. Sejak ditubuhkan pada 2012, Syria Care berkembang daripada sebuah gerakan sukarelawan kecil di Malaysia kepada sebuah NGO kemanusiaan berimpak besar, termasuk membangunkan projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib, menaja hampir 6,000 anak yatim, membina 19 sekolah, rumah anak yatim dan warga emas, serta menyalurkan bantuan kepada hampir 6 juta penerima manfaat di pelbagai negara. Syria Care juga mencatat sejarah sebagai NGO Malaysia pertama yang berdaftar secara rasmi di Syria, membolehkannya menyalurkan bantuan lebih teratur dan efektif.
Dengan pelancaran HUMAM Relief, Syria Care kini memperkukuh fokusnya di bumi Syam, manakala HUMAM Relief menjadi sayap global yang meluaskan capaian bantuan. Kedua-duanya bergerak dengan semangat sama semangat kemanusiaan. Menutup ucapannya, Siti Sakinah menegaskan bahawa perjalanan ini tidak mungkin berhasil tanpa sokongan rakyat Malaysia yang sentiasa menyumbang, berdoa dan bersama-sama menggerakkan misi kemanusiaan. HUMAM Relief, katanya, adalah kesinambungan kekuatan itu dan menjadi bukti bahawa perjuangan membela insan adalah amanah bersama.