Karnival Jom Heboh (KJH) kembali menggamatkan utara tanah air apabila seramai 350,000 pengunjung membanjiri pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang selama tiga hari berturut-turut dari 7 hingga 9 November 2025. Edisi kali ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, cabaran gaya hidup sihat serta persembahan artis popular yang menyerikan suasana penuh warna-warni dan kemeriahan di seluruh lokasi.
Karnival berskala besar anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini terus mengekalkan reputasinya sebagai acara padang paling ikonik negara dengan menampilkan elemen hiburan, riadah, dan komuniti. Sepanjang tiga hari, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Street Soccer 3 on 3, Pertandingan Karaoke dan Tarian Tradisional Drama Sangat, Buletin Challenge, Meet & Greet bersama pelakon TV3 dan personaliti TV9, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Tonton Thrill Rumah Hantu, serta cabaran kecergasan seperti Zumba, Pound Fitness dan Jom Lokal Jam yang menjadi tumpuan ramai.
Buat pertama kalinya, Jom Heboh Fun Run dianjurkan pada pagi Ahad sempena ulang tahun ke-22 karnival ini. Acara tersebut dirasmikan oleh Dato’ Ts. Azizee Bin Ismail, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Media Prima Berhad. Suasana pagi begitu meriah dengan penyertaan hampir 2,000 peserta yang menyertai larian santai sejauh lima kilometer sambil menikmati muzik dan sorakan penonton. Peserta turut menerima jersi edisi khas, goodie bag eksklusif, dan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM40,000.
Kemeriahan turut dipertingkatkan dengan kehadiran Viper Challenge, cabaran halangan lasak untuk seisi keluarga yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung. Aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan semangat berpasukan, malah turut menampilkan demonstrasi khas oleh pasukan Komando Malaysia (GGK) yang menarik perhatian ramai.
Para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan artis kesayangan mereka. Antara selebriti dan personaliti Media Prima yang hadir termasuk Muaz Zabir, Shamsul Ghau Ghau, Saidah Kamarudin, Syahmie Thsaqeef, Dayang Areeda, Anna Jobling, Liza Abdullah, Shaza Bae, Fedtri Yahya, Amirulhakim Lokman, Fatin Hamimah, Fahiz Ariff, Farah Nabilah Wazer, Zati Nizam, Shafiq Adnan dan Neesa Khir. Kehadiran mereka di Studio Tonton Drama Sangat (STDS) menjadi tumpuan peminat yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar dan berbual mesra.
Suasana di STDS turut bertambah meriah dengan penganjuran Pertandingan Karaoke Rangga & Cinta sempena kehangatan tayangan filem tersebut di pawagam. Pertandingan ini mendapat sambutan hangat dan dimenangi oleh Nur Aishah Binti Mohd Hassan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta dinobatkan sebagai Pemenang Persembahan Terbaik dengan tambahan hadiah RM150. Persembahannya yang bertenaga lengkap dengan penari pengiring mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Reruai pameran daripada pelbagai jenama dan agensi turut memeriahkan suasana, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Puspakom, dan Perkampungan Usahawan UDA yang menawarkan pelbagai promosi dan hadiah menarik. Pengunjung juga menikmati hidangan daripada pelbagai gerai makanan tempatan dan juadah viral sambil bersantai menikmati suasana karnival yang meriah.
Acara kemuncak, Konsert Jom Heboh, yang berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 8 dan 9 November menjadi sorotan utama. Ribuan penonton membanjiri kawasan konsert untuk menyaksikan persembahan hebat daripada barisan artis popular seperti Amelina, Nabila Razali, Kaka Azraff, Jimi (OIAM), K.O.I, Aisha Retno, Naqiu, Khai Bahar, Drama Band dan Aina Abdul. Persembahan bertenaga mereka disambut dengan sorakan gemuruh, mencipta momen yang penuh emosi dan tidak dapat dilupakan oleh peminat.
KJH Pulau Pinang 2025 sekali lagi membuktikan statusnya sebagai platform hiburan keluarga terbesar negara, menggabungkan elemen riadah, seni persembahan dan komuniti dalam satu perayaan besar yang mengeratkan hubungan masyarakat melalui aktiviti sihat dan menyeronokkan.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari laman rasmi www.jomheboh.com.my dan ikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Gunakan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh #KJHPenang2025 #TV3SentiasaBersamamu untuk berkongsi detik-detik menarik sepanjang karnival.