Sedang hangat ditayangkan kini, filem Rangga & Cinta bukan sekadar mengimbau kisah cinta legenda yang pernah menawan hati jutaan penonton, tetapi juga membuka lembaran baharu buat dua pelakon muda yang semakin menjadi perhatian, El Putra Sarira dan Leya Princy. Gandingan dua bintang baharu ini membawa kehangatan tersendiri, bukan hanya kerana mereka memegang watak ikonik, tetapi juga kerana cara mereka menghidupkan semula kisah itu dengan kejujuran emosi dan rasa yang mendalam, menambah pesona baharu dalam dunia Rangga & Cinta.

El “Shadday” Putra Sarira yang membawakan watak Rangga dilahirkan pada 30 Disember 2003 di Papua Barat dan membesar jauh dari kesibukan kota. Perjalanan hidupnya tidak mudah — untuk ke Jakarta sahaja mengambil masa hampir 12 jam penerbangan, dan sewaktu di sekolah menengah, beliau perlu menaiki bot selama enam jam untuk sampai ke sekolah asramanya. Selepas menamatkan persekolahan, El melanjutkan pelajaran di Universiti Dipa Makassar, Jakarta Selatan, di mana cintanya terhadap dunia seni mula berkembang. Ketekunan dan keberaniannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya melepasi uji bakat Rangga & Cinta. Lebih istimewa, pemilihannya dibuat sendiri oleh Nicholas Saputra, pelakon asal watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta?, seolah-olah legasi watak tersebut kini diserahkan kepadanya.

Bagi Harleyava “Leya” Princy yang memegang watak Cinta, dunia seni bukan sesuatu yang asing. Dilahirkan pada 18 November 2006 di Jakarta, beliau membesar dalam keluarga seni — ibu bapanya, Perry Maryadi dan Risma Nilawati, merupakan pelakon terkenal Indonesia. Dengan darah seni yang mengalir dalam dirinya, Leya mula mencipta nama menerusi siri web Pernikahan Dini, dan kini Rangga & Cinta menandakan penampilan pertamanya sebagai pelakon utama filem. Selain berlakon, Leya turut aktif menyanyi di bawah label Trinity Optima Productions, menunjukkan bakat pelbagai dimensi yang dimilikinya. Walaupun masih muda, karisma dan kematangan yang dibawanya di layar membuat ramai terpukau — seolah-olah jiwa “Cinta” memang sudah sebati dalam dirinya.
Sejak tayangan Rangga & Cinta, media sosial dibanjiri pujian terhadap keserasian dua pelakon muda ini. Dari komen seperti “Comelnya ya Allah” hingga “Mereka ni sepadan sangat!”, jelas bahawa penonton bukan sahaja terpikat dengan lakonan mereka, tetapi turut jatuh hati dengan keakraban yang terpancar di antara mereka, baik di depan mahupun di belakang kamera.
Apabila ditanya rahsia di sebalik chemistry yang kuat itu, El Putra Sarira menjelaskan bahawa semuanya bermula daripada keinginan untuk benar-benar memahami karakter masing-masing. “Untuk wujudkan chemistry itu, kami banyak berbincang tentang karakter kami. Kadang Leya akan tanya saya, ‘Adakah Cinta macam ini?’ atau ‘Rangga ni orangnya macam mana?’ Dari situ kami bertukar idea. Kadang-kadang kami keluar ke tempat yang watak kami suka, contohnya kedai buku, supaya kami dapat rasa dunia yang sama,” katanya.
Leya Princy pula menambah, “Kami cuba faham apa yang bermain dalam fikiran Rangga dan Cinta, menyelami jiwa mereka dengan mendalami watak serta berani mencuba perkara baharu. Dari situ, kami jadi lebih serasi di set dan di luar set.”
Dari dua latar kehidupan yang berbeza, El Putra Sarira dan Leya Princy bertemu di satu titik yang sama — titik di mana seni dan emosi bertaut menjadi satu. Mereka membawa semula kehangatan, puisi, dan magis cinta klasik dalam versi yang lebih muda, segar, dan relevan untuk generasi masa kini.
Saksikan bagaimana dua jiwa muda ini menulis semula sejarah cinta di layar perak dengan tafsiran mereka sendiri. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Rangga & Cinta di pawagam berhampiran anda.
Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya — kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.
Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.