Suara Matang: Eksplorasi Muzikal Aziz Harun & Dalia Farhana dalam Lagu Baru

Meski hati berat untuk berpisah, sedang masih ada rasa cinta, namun perpisahan jalan terbaiknya.

Pesan ini terserlah dalam lagu duet yang memaparkan kolaborasi istimewa antara Dalia Farhana dan Aziz Harun, adik-beradik sulung yang berbakat dalam dunia muzik. Lagu bergenre ‘modern ballad’ ini adalah hasil karya mereka berdua bersama Eugene Lai.

Karya ini turut diterbitkan oleh X.O. House dan Faithful Music, memaparkan kedewasaan dalam penghasilan muzik Aziz Harun dan Dalia Farhana. Tambah menarik, lagu ‘Akhir Cerita’ juga merupakan karya pertama mereka yang dicipta secara bersama, menambah nilai signifikan kepada lagu tersebut.

Menariknya, lagu Akhir Cerita ini buat pertama kalinya bakal dipersembahkan secara langsung pada Chapter One: Aziz Harun The Showcase.

Dalia Farhana, 25, atau nama sebenar Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar berkata, satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

“Projek lagu ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan Aziz dan sebenarnya saya sudah menjadi peminatnya. Jadi, ini adalah satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

“Saya tidak sangka pertama kali kami berjumpa sudah boleh tulis lirik lagu bersama-sama. Itu adalah sesi yang sangat menarik kerana pertama kali menulis lagu bersama orang lain, jadi saya banyak belajar daripada Aziz.

“Selain Aziz, saya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Eugene Lai dalam lagu ini. Sangat senang bekerja dengan mereka walaupun baru pertama kali, jadi saya sangat berterima kasih kerana mereka juga terbuka untuk menerima idea saya. Mereka juga banyak memberi pendapat dalam perbincangan dan usaha untuk menyiapkan lagu ini. Kami bukan sekadar bekerja tetapi berkarya bersama-sama,” katanya.

Berkongsi lanjut, Dalia berkata, bekerjasama dengan Aziz sangat mudah dan menyeronokkan.

“Senang sahaja bekerja dengan Aziz kerana dia seorang yang menyeronokkan. Bekerja dengan dia memang banyak ketawa sebab kami jenis orang yang susah serius. Apabila kami berbincang untuk menyiapkan lagu ini, sebenarnya kami sedang berbual dan daripada itu tercetus idea untuk jalan cerita lagu ini.

“Alhamdulilah, sepanjang proses rakaman lagu Akhir Cerita ini semuanya berjalan lancar. Untuk rakaman muzik video juga berjalan dengan baik dan ia berjaya disiapkan lebih awal daripada apa yang dirancangkan. Semua orang memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Sementara itu, Aziz Harun, 25, atau nama sebenar Abdul Aziz Harun mengakui rakan duetnya kali ini, tepat dengan lagu yang dihasilkan.

“Lagu ini berentak ‘modern ballad’ dan ia sesuai untuk kami yang selalu tulis lagu sedih macam ni. Jadi untuk lagu ini memang kena dengan pasangan duet kali ini.

“Satu pengalaman yang menarik apabila dapat bekerjasama dengan Dalia. Biarpun ‘range’ vokal kami berbeza, tapi, sebab Dalia pun terbuka, jadi kami cuba dan gembira dan puas hati dengan hasil lagu ini.

“Ini kali pertama kami bekerjasama selepas dah lama minat Dalia apabila dia ‘cover’ lagu.  Dalam masa sama, dia pun banyak single berentak balada yang menyentuh hati. Saya sangat suka. Memang saya nak buat lagu dengan dia. Alhamdulillah, menerusi projek ini kami nyanyi dan buat lagu bersama,” katanya.

Menurutnya, penghasilan lagu Akhir Cerita menjadi lebih mudah apabila semua pihak yang terbabit sangat profesional.

“Cabarannya mungkin ‘key’ kami berbeza. Jadi, kami perlu cari keseimbangan dari segi melodi supaya tidak ada sesiapa yang lebih atau kurang. Dalam masa sama, gubahan muzik juga cabaran besar masa buat lagu ni. Kita nak dapatkan ‘vibes’ sedih sebab ada dua penyanyi. Tak nak dua penyanyi ‘overshadow’ lagu dan mesej lagu ni. Melodi lagu pun tak berat sangat. Tapi sebab dua orang bekerjasama, lagilah kena hati-hati dalam semua aspek pembikinan lagu.

“Dari segi proses penggambaran video muzik pun mudah. Kami jenis yang ‘easy going’ dan terbuka untuk idea. Sangat mudah bekerjasama dengan semua pasukan kerana masing-masing sudah pernah bekerja dalam MV sebelum ini,” katanya.

Aziz berharap lagu Akhir Cerita dapat diterima baik pendengar dan pencinta muzik tanah air.

“Kelebihan lagu ini adalah senang untuk didengar dan boleh dengar di mana-mana dalam pelbagai situasi. Lagu ini menyampaikan mesej untuk kuat dalam membuat keputusan demi kebaikan diri sendiri dan orang tersayang walaupun berat melepaskan.

“Lagu Akhir Cerita bagi saya adalah mengenai kesedaran untuk melepaskan sesuatu atau seseorang yang kita sayang. Dalam lagu ini ada pesanan untuk melepaskan dengan ikhlas dan tetap mendoakan walaupun pada akhirnya tetap perlu berpisah.

“Saya berharap lagu ini dapat menemani orang yang berada dalam situasi seperti digambarkan dalam lagu ini. Saya juga berharap lagu ini dapat memeberi semangat kepada mereka yang menjalani fasa kehidupan yang tidak begitu bahagia, sekali gus mampu memberi kekuatan kepada pendengar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *