Kerajaan Negeri Sembilan menerusi kerjasama strategik bersama Uni Enrol melancarkan Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi berkualiti kepada anak-anak negeri. Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar tempatan mendapatkan sokongan kewangan serta bimbingan laluan pendidikan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang mewakili YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut hadir barisan kepimpinan Uni Enrol, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan serta beberapa institusi pengajian tinggi terlibat.

Menurut YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, pendidikan merupakan antara pelaburan terbesar dalam membentuk masa depan Negeri Sembilan. Beliau berkata, kerjasama ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar, malah memastikan mereka menerima panduan dan peluang yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian dengan lebih yakin.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap lebih ramai anak muda dapat merealisasikan impian mereka serta menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan. Pendidikan adalah asas penting dalam melahirkan generasi berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 menawarkan kira-kira 29 biasiswa dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.3 juta. Walaupun memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), program ini terbuka kepada semua calon yang memenuhi syarat, sama ada mereka mempunyai pencapaian akademik cemerlang, aktif dalam bidang sukan atau berdepan cabaran peribadi.
Inisiatif ini diwujudkan bertepatan dengan tempoh penting bagi lepasan SPM dan STPM yang sedang menentukan hala tuju pendidikan tinggi mereka. Program ini berperanan sebagai laluan alternatif atau “Plan B” bagi pelajar yang sedang menunggu keputusan rayuan UPU atau keputusan kemasukan ke universiti.
Bagi lepasan SPM, program ini hadir ketika keputusan rayuan UPU diumumkan pada bulan Julai, manakala lepasan STPM boleh memanfaatkan peluang ini menjelang pengumuman keputusan UPU yang dijangka berlangsung pada September. Melalui sokongan ini, pelajar boleh meneruskan pengajian dalam program diploma, asasi atau ijazah tanpa menjejaskan perancangan akademik mereka.

Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 turut mendapat sokongan daripada beberapa institusi pengajian tinggi termasuk IMU University, Multimedia University, Universiti Tunku Abdul Rahman, HELP University, Dasein Academy of Art, Forward College dan First City University College.
Co-Founder dan Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw berkata, kerjasama bersama Kerajaan Negeri Sembilan ini membantu merapatkan jurang antara cabaran kewangan dan peluang pendidikan berkualiti, khususnya ketika keluarga sedang membuat keputusan penting berkaitan masa depan anak-anak mereka.
Menurut beliau, Uni Enrol akan memanfaatkan kepakaran serta platformnya untuk memastikan lebih ramai pelajar, ibu bapa, guru dan pihak sekolah mendapat akses kepada maklumat biasiswa yang sah serta peluang pendidikan yang bersesuaian.
Program ini terbuka kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM di sekolah-sekolah Negeri Sembilan serta memperoleh keputusan lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Selain bantuan kewangan, penerima terpilih turut akan menerima khidmat kaunseling pendidikan secara peribadi, padanan universiti serta sokongan kemasukan melalui rangkaian Uni Enrol di seluruh negara.
Dengan jumlah biasiswa terkumpul hampir RM100 juta yang telah difasilitasi untuk pelajar Malaysia, Uni Enrol terus memperkukuhkan peranannya sebagai salah satu platform pendidikan tinggi utama negara. Melalui kerjasama bersama kerajaan, universiti dan rakan industri, Uni Enrol komited membantu lebih ramai pelajar mendapatkan peluang pendidikan yang terbaik.
Maklumat lanjut mengenai Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026 boleh diperoleh melalui laman rasmi program tersebut.












