Festival Teater Antarnusa 2026 Bakal Meriahkan Kuala Lumpur Selama Empat Hari

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026), sebuah festival seni persembahan yang menghimpunkan penggiat teater dan anak seni dari lima negara serantau. Festival anjuran Fakulti Teater ASWARA ini akan berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai 2026 di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur.

Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi negara yang berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ASWARA terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem seni kreatif negara. Penganjuran FTA 2026 menjadi antara usaha signifikan institusi itu dalam memperluaskan jaringan kerjasama seni di peringkat serantau sambil membuka ruang kepada masyarakat untuk mendekati dunia teater kontemporari.

Mengangkat tema “Tanda. Temu. Tamu”, festival ini menjadi platform interaksi budaya yang menghimpunkan kepelbagaian idea, estetika moden dan identiti seni persembahan dari rantau Asia Tenggara. Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai program yang bukan sahaja mengangkat karya seni kontemporari, malah memperkenalkan keunikan budaya serta kreativiti penggiat seni dari pelbagai latar belakang.

Festival akan membuka tirainya menerusi Majlis Perasmian yang dijadual berlangsung pada 16 Julai 2026 di Dewan Orkestra ASWARA. Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot. Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti akan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam dengan penyertaan terbuka kepada orang ramai.

Antara tarikan utama ialah Bengkel Teater yang dikendalikan oleh seniman berpengalaman dari rantau ini bagi memberi peluang kepada peserta menimba ilmu dan memperkukuh kemahiran dalam seni persembahan. Festival turut menampilkan sesi Work in Progress yang memberi pendedahan kepada khalayak mengenai proses kreatif penghasilan karya teater, sekali gus membuka ruang dialog antara pengkarya dan penonton.

Turut mencuri perhatian ialah program Kedai Cerita Runcit yang mempersembahkan siri monodrama pendek berkonsepkan site-specific. Persembahan ini menawarkan pengalaman teater yang lebih dekat dengan penonton menerusi penggunaan ruang alternatif sebagai pentas persembahan. Selain menyajikan karya kreatif, program ini turut menjadi platform pertukaran idea serta mengukuhkan jaringan komuniti seni secara lebih santai dan inklusif.

Festival ini juga akan menampilkan Showcase yang menghimpunkan persembahan teater kontemporari berskala besar oleh kumpulan teater dan artis jemputan dari dalam serta luar negara. Persembahan tersebut dijangka menjadi kemuncak festival dengan menampilkan pelbagai pendekatan artistik yang mencerminkan perkembangan seni teater moden di rantau ini.

Menurut ASWARA, penganjuran Festival Teater Antarnusa 2026 merupakan manifestasi komitmen institusi itu dalam memperkasa pendidikan seni budaya bukan sahaja dalam bidang akademik, malah sebagai pemangkin kepada pembangunan industri seni kreatif yang lebih progresif dan berdaya saing. Festival ini turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi pengukuhan sektor pelancongan budaya.

Bagi memastikan seni dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, hampir keseluruhan program sepanjang festival ditawarkan secara percuma. Hanya persembahan Showcase dikenakan bayaran tiket sebanyak RM10 seorang. Orang ramai yang berminat disaran membuat tempahan lebih awal menerusi platform CloudJoi kerana kapasiti ruang persembahan adalah terhad.