Shiha Zikir & Dukes Gegar Jiwa Dengan MV ‘Bila Kau Datang Menangis’

DUKES, kumpulan muzik yang dianggotai lima anak muda dengan semangat eksperimental dan ekspresi bertenaga, kini tampil dengan muzik video (MV) terbaharu mereka berjudul Bila Kau Datang Menangis. MV ini mengetengahkan konsep unik yang sarat dengan simbolik emosi, menampilkan gabungan elemen visual dramatik dan naratif penuh makna.

Muzik video tersebut memperlihatkan jalan cerita berbentuk kiasan mengenai keterasingan, dilambangkan melalui persembahan band di dalam sebuah glass cube. Pada awalnya, kiub kaca itu menjadi simbol rasa terperangkap, di mana dunia luar hanya mampu melihat tanpa benar-benar memahami. Namun, pada penghujung naratif, kiub kaca itu bertukar menjadi pentas kebebasan dengan letupan warna, percikan cat, serta aksi santai DUKES, menggambarkan pelepasan emosi yang akhirnya diterjemahkan sebagai kebebasan.

Proses penggambaran MV dijalankan di studio bagi memberi kebebasan maksimum dalam eksplorasi visual. Studio dipilih sebagai lokasi utama kerana ia membolehkan pelaksanaan teknik sinematografi unik seperti slow shutter light trails, penggunaan lensa fisheye untuk perspektif terubah bentuk, serta babak letupan cat berwarna yang mustahil direalisasikan dalam lokasi terbuka.

Muzik video ini diarahkan oleh Shiha Zikir dan Arul daripada SHIHA ZIKIR EMPIRE PRODUCTION. Kolaborasi ini hadir daripada hasrat untuk menggabungkan muzik dengan penceritaan visual yang kuat. Menurut pengarah, DUKES bersikap terbuka dalam mencuba pelbagai idea kreatif, daripada konsep awal berinspirasikan air, sebelum berkembang menjadi letupan warna penuh simbolik sebagai lambang kebebasan.

Sepanjang penggambaran, pelbagai cabaran teknikal ditempuhi, khususnya ketika menghasilkan kesan slow shutter yang memerlukan kerjasama tepat antara cahaya dan pergerakan. Namun, detik paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu babak letupan cat, apabila suasana dingin bertukar menjadi ledakan warna penuh emosi. Babak tersebut meninggalkan kesan mendalam kerana dirasai seolah-olah sebuah konsert sebenar yang dirakam secara langsung.

Antara elemen visual menarik yang diketengahkan dalam muzik video ini termasuklah set glass cube sebagai metafora keterasingan, teknik slow shutter dan lensa fisheye untuk memberi rasa mentah dan halusinasi, serta letupan cat berwarna yang melambangkan transformasi menuju kebebasan. Sinematografi dramatik dengan permainan cahaya, bayangan, dan pantulan turut menyerlahkan kelainan, manakala pengakhiran yang beralih daripada monokrom kepada letupan warna memberikan kejutan visual yang menawan.

Menurut vokalis DUKES, Ziyyad, pengalaman menghasilkan MV ini memberi ruang kepada band untuk menyalurkan emosi mereka secara lebih jujur. “Bagi kami, kiub kaca itu bukan sekadar set tetapi ia melambangkan apa yang dirasai ramai orang yang terperangkap dengan emosi sendiri. Saat letupan warna berlaku, ia benar-benar terasa seperti pelepasan. Sama seperti muzik kami, MV ini adalah ruang untuk menjerit, meluahkan, dan akhirnya bebas.”

Dengan gabungan penceritaan simbolik, elemen visual eksperimental serta tenaga persembahan yang mentah, Bila Kau Datang Menangis diyakini bakal memberikan pengalaman menonton yang segar dan beremosi buat para peminat.

Saksikan muzik video penuh Bila Kau Datang Menangis di YouTube sekarang dan hayati ledakan emosi DUKES: Dukes – Bila Kau Datang Menangis (Official Music Video). Untuk maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.