Seniman Jalanan Kembara 12 Tahun “Bob Sentuhan” Bakal Mengadakan Konsert Bersama Adik Cinta & Ryzal Aziz pada 18 November!

Bob Sentuhan, seorang busker terkenal yang telah menginspirasi banyak peminat seni di tanah air dengan bakat dan tekadnya yang kuat, dengan penuh semangat mengumumkan bahawa dia akan menghadirkan sebuah persembahan istimewa dalam Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band pada 18 November ini.

Konsert berdurasi tiga jam itu yang dijadual berlangsung di Panggung Asia, Gombak, menurutnya diadakan bagi meraikan keberadaan Bob & Sentuhan Band dalam seni muzik tanahair.

Pada sidang media, hari ini, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Aizad Rahman turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai lambang kejerihan dan pengorbanan, terutama bagi seniman yang berkarya di jalanan yang berjuang tanpa lelah.

“Konsert ini adalah bagi meraikan pemuzik Sentuhan yang bersama saya selama 12 tahun ini, terutama Shahrul Amri selain tanda terima kasih atas sokongan peminat yang memberi ruang kepada buskers, sekali gus membawa karya seniman jalanan pada tahap lebih tinggi.

“Ia adalah sebuah persembahan istimewa yang bakal berlangsung selama tiga jam tanpa henti dengan pemilihan lagu, termasuk karya asal daripada album Sentuhan yang jarang didengar yang banyak berkisar tentang Malaysia, jiwa dan persembahan jalanan seperti Aku Cinta Kamu dan Bukit Bintang.

“Biarpun masih mengekalkan konsep busking, muzik secara keseluruhannya cenderung kepada lagu-lagu hard rock dengan sistem bunyi, sesuai bagi sebuah konsert. Juga menarik, sesi open jamming nanti yang dibuka kepada mereka yang pernah bersama Sentuhan untuk tampil dengan persembahan spontan,” katanya.

Dianjurkan oleh RYZ Event, konsert dengan tiket serendah RM68 itu turut menampilkan bakat Singapura, Ryzal Aziz, selain penyanyi cilik, Cinta Suci Indah Urmila Zaidi yang lebih dikenali sebagai Adik Cinta. Timeless Studio sebagai penaja bersama dan Mewah Event Management, rakan strategik.

Busking di daerah tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang dan berdepan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, ibarat sekolah terbaik Bob dalam mengasah suara dan petikan gitarnya, berkomunikasi dan menyanyi pelbagai bahasa, sekali gus meraih peminat, termasuk antarabangsa.

Justeru, kata anak kelahiran Pulau Pinang ini yang juga digelar Duta Kecil Pelancongan, satu segmen khas juga dirancang bagi memperdengarkan lagu-lagu pelbagai bahasa seperti hits Bollywood dan Arab yang merupakan sebahagian daripada identiti Bob & Sentuhan Band.

“Sebelum busking, saya bermain muzik di kelab-kelab malam dan mengiringi ramai artis,” kata Bob yang mencipta nama walaupun tanpa pendidikan formal dalam muzik, hanya bersandarkan minat mendalam seawal usia 12 tahun.

“Pada 2012, demi meneruskan hidup di Kuala Lumpur, saya memberanikan diri terjun ke dalam dunia busking. “Ia bukan perjalanan mudah, menuntut pengorbanan bukan kecil kerana busking dipandang rendah, tidak hebat. Saya cabar diri, gigih berusaha untuk mematahkan stigma buskers tidak boleh pergi jauh. Penerimaan masyarakat hari ini buat saya terharu dan Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band ini jelas cukup bermakna.” Tiket berharga RM108 (VIP), RM88 (Cat 1) dan RM68 (Cat 2) telah mula dijual di laman web www.ilassotickets.com, atau boleh hubungi hotline 011-13297822.

MALAYSIA DAY SPECIALS All tickets at 16% OFF all tickets category VIP = RM91.00 (NP : RM108) CAT 1 = RM74.00 (NP : RM88) CAT 2 = RM57.00 (NP : RM68) Valid from 00.00am – 11.59pm on 16.09.2023

Ticket package VIP Package ( 3 Tickets ) – RM292 (np : RM324) CAT 1 Package ( 3 Tickets ) – RM238 (np RM264) CAT 2 Package ( 3 Tickets ) – RM184 (np RM204)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *