Reality Club bakal mengadakan persembahan istimewa di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November 2026 menerusi sebuah konsert yang dianjurkan oleh POST dan Katarsis Live bagi meraikan sedekad perjalanan muzik kumpulan yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu.
Persembahan yang hanya berlangsung untuk satu malam ini bakal menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke 10 Reality Club yang telah membentuk cita rasa satu generasi pendengar muzik di Asia Tenggara sepanjang sedekad lalu.
Sepanjang perjalanan mereka, Reality Club menghasilkan pelbagai karya indie yang mendapat tempat dalam kalangan peminat, antaranya Is It The Answer? dan Alexandra. Lagu lagu mereka turut mengangkat kisah berkaitan cinta, kerinduan serta proses membesar yang dekat dengan kehidupan pendengar.
Pengaruh Reality Club semakin berkembang menerusi album studio ketiga mereka, Reality Club Presents…, yang memperlihatkan kumpulan tersebut meneroka pelbagai warna muzik dengan gabungan genre yang berbeza. Setiap lagu dalam album berkenaan turut membawa naratif dan karakter tersendiri.
Album tersebut berjaya memenangi kategori Best Alternative Album di Anugerah Musik Indonesia, manakala lagu Love Epiphany turut memenangi kategori Best Alternative Duo/Group/Collaboration.
Album keempat mereka, Who Knows Where Life Will Take You?, pula memperlihatkan perkembangan penulisan lagu Reality Club yang semakin matang. Album tersebut turut menerima pelbagai pujian sebagai antara karya mereka yang paling yakin dan menyentuh emosi.
Tahun lalu menjadi antara detik penting dalam perjalanan Reality Club apabila kumpulan tersebut mengadakan persembahan ulang tahun yang habis terjual di Jakarta pada bulan Jun. Mereka kemudiannya menandatangani kontrak bersama Suneater, sebuah label muzik Indonesia yang menaungi beberapa nama penting dalam dunia muzik bebas negara tersebut.
Persembahan di Kuala Lumpur hadir menerusi momentum tersebut dan dirangka khas sempena ulang tahun ke 10 Reality Club.
Konsert ini bukan sekadar menampilkan himpunan lagu popular kumpulan berkenaan, sebaliknya katalog muzik mereka akan disusun semula untuk membentuk sebuah set persembahan istimewa yang berbeza daripada persembahan biasa.
Peminat di Malaysia berpeluang menyaksikan Reality Club dalam sebuah persembahan yang meraikan perjalanan muzik mereka sepanjang 10 tahun, selain mengimbau kembali lagu lagu yang telah menjadi runut bunyi kepada pelbagai kenangan dalam kehidupan pendengar.
Reality Club akan beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat, 13 November 2026, bermula jam 8 malam. Konsert ini dianjurkan oleh POST dan Katarsis Live.

Jualan pra jualan tiket bermula pada Isnin, 31 Ogos 2026, manakala jualan umum dibuka pada Rabu, 2 September 2026.
Maklumat lanjut mengenai konsert boleh didapati menerusi Instagram POST, manakala tiket boleh didapati melalui Ticketmelon.











