Bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, P. Radhi tampil dengan sebuah single baharu bertajuk “Raya Bersama” yang mengangkat tema nostalgia dan kenangan lama yang sering dirindui setiap kali Syawal menjelma. Lagu ini membawa pendengar mengimbau kembali suasana Raya klasik, daripada kemeriahan pagi Syawal dan hidangan tradisional sehinggalah momen indah bersama keluarga tercinta. Ia turut menyampaikan mesej tentang kepentingan saling bermaafan dan membuka lembaran baharu dengan hati yang lebih bersih.
Lagu dan lirik “Raya Bersama” merupakan hasil ciptaan Firdaus Rashid, seorang komposer baharu di bawah naungan Luncai Emas. Single ini menjadi karya terbaharu P. Radhi selepas pelancaran single solonya pada tahun 2024 berjudul “Gadis Chantek” ciptaan M. Nasir, selain projek rakaman semula lagu “Tiara” dan “Suatu Masa” yang dilancarkan pada tahun 2022 di bawah Luncai Emas.
Lirik lagu ini turut membawa mesej yang mendalam agar keindahannya terus relevan dan tidak luput ditelan zaman. Menurut P. Radhi, beliau berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi mampu mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan keceriaan sesama kita di hari lebaran.
P. Radhi, atau nama penuhnya Muhammad Radhi Ab Rahman, dikenali dalam industri muzik sebagai penyanyi yang sering dikaitkan dengan gaya nyanyian mirip seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun masih mengekalkan identiti dan karakter tersendiri. Beliau juga pernah mencipta kejayaan sebagai Juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016.
Melalui penghasilan karya berunsur klasik ini, P. Radhi sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menghasilkan muzik yang mampu kekal relevan sepanjang zaman. Dalam masa yang sama, Luncai Emas berperanan sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta bagi lagu ini, sejajar dengan platform dan repertoir yang dimiliki.
Bagi mereka yang ingin merasai nostalgia yang dibawakan, single terbaharu P. Radhi “Raya Bersama” kini boleh didengar di semua platform penstriman digital utama serta di saluran YouTube Luncai Emas.












