Menjelang detik bersejarah dalam perjalanan seni ratu rock negara, Ella, sebuah majlis istimewa bertemakan “Jamuan Tengah Hari Bersama Ella” telah berlangsung pada 29 Januari 2026 jam 11.30 pagi di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid. Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media yang telah menjadi saksi serta penyokong setia perjalanan seni Ella selama lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air.
Jamuan tengah hari ini menjadi pembuka tirai kepada konsert berskala stadium yang dinanti-nantikan, iaitu Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 14 Februari 2026. Majlis tersebut turut menjadi platform pertemuan mesra antara Ella dan wakil media dalam suasana santai namun sarat dengan makna.
Dalam pertemuan yang penuh keakraban itu, Ella berkongsi kisah, kenangan serta penghargaan tulus kepada rakan media yang tidak pernah putus menyokong kerjaya seninya sejak awal pembabitan beliau. Bagi Ella, sokongan berterusan media memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan dan legasi seninya hingga ke tahap hari ini.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran barisan artis ternama tanah air yang sekaligus diumumkan sebagai artis jemputan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen. Antara yang hadir ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys, termasuk Ella & The Boys. Kehadiran mereka melambangkan penyatuan generasi dalam muzik rock tempatan, di samping menjadi penghormatan terhadap perjalanan panjang kerjaya seni Ella.

Bagi Ella, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar sebuah persembahan pentas. Menurut beliau, konsert ini merupakan sebuah perjalanan emosi serta penghargaan buat para peminat yang setia bersamanya sejak awal kerjaya. Beliau turut menjelaskan bahawa persiapan rapi sedang dijalankan merangkumi pengukuhan kandungan konsert serta latihan intensif dari segi fizikal, vokal dan mental, memandangkan ia merupakan persembahan solo terbesar sepanjang kerjayanya. Ella juga menegaskan bahawa konsert ini berteraskan misi kebajikan, selari dengan kepercayaannya bahawa muzik mampu menyatukan dan memberi impak bermakna kepada masyarakat, sambil menegaskan bahawa para peminat bukan sekadar penonton, tetapi sebahagian daripada sejarah yang dicipta bersama.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, En. Rohit Rampal, produksi konsert ini dibangunkan dengan penuh teliti sebagai tanda penghormatan terhadap legasi Ella. Setiap aspek termasuk audio, visual serta susunan kandungan persembahan dirancang secara menyeluruh bagi memberikan pengalaman bertaraf antarabangsa yang belum pernah disaksikan di Malaysia. Konsep pentas Separa Bulan atau ‘Half Moon’ sepanjang 35 meter yang bakal digunakan melambangkan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai simbol penyatuan peminat serta perjalanan sejarah muzik yang dikongsi bersama.

Sebagai pelengkap kepada pengalaman konsert, barangan cenderamata rasmi eksklusif telah mula dijual sejak 14 Januari 2026 menerusi laman web www.hitmanlive.com. Antara koleksi yang ditawarkan termasuk t-shirt, jersi, baju panas, jaket, topi, beg dan pelbagai barangan rasmi lain khusus buat peminat setia Ella.
Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi, stesen radio Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM sebagai radio rasmi, serta Astro Gempak, Meletop dan Hlive sebagai media rasmi. Sokongan media luar turut disertai oleh Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau mengemukakan pertanyaan melalui emel concerts@hitman.group.