Program Ramadan Nestlé Malaysia Bantu 300,000 Rakyat Dengan Sumbangan Makanan Bernilai RM2 Juta

Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, yang menjadi waktu untuk mengeratkan hubungan sesama insan, menyemai rasa syukur serta menggalakkan amalan berkongsi rezeki, Nestlé Malaysia telah menganjurkan program “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé”. Inisiatif ini bertujuan memastikan golongan yang memerlukan di seluruh negara turut menikmati makanan berkhasiat dan barangan keperluan sepanjang bulan yang mulia ini. Menerusi kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama Islam tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan media serta universiti, Nestlé Malaysia telah menghulurkan bantuan makanan bernilai kira-kira RM2 juta yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata Ramadan mengajar masyarakat untuk saling menghargai dan membantu antara satu sama lain. Sejajar dengan komitmen syarikat untuk menambah baik kehidupan rakyat Malaysia, Nestlé Malaysia berusaha memainkan peranan dalam meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang mungkin berdepan cabaran tambahan sepanjang tempoh ini. Menerusi program “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé”, syarikat berganding bahu dengan pelbagai rakan kerjasama serta menggerakkan sukarelawan Nestlé Sayang Komuniti bagi memastikan makanan berkhasiat dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan janji syarikat untuk membawakan Good Food, Good Life.

Program santunan masyarakat di seluruh negara pada tahun ini melibatkan pembungkusan dan pengedaran lebih daripada 15,000 Bakul Ramadan, di samping penyediaan makanan berbuka puasa serta pengagihan juadah Bubur Lambuk MAGGI di pelbagai lokasi. Menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak, Nestlé Malaysia turut membekalkan produk utama syarikat seperti MILO, MAGGI, NESCAFÉ, Susu EVERYDAY, NESTUM, Emping Jagung NESTLÉ GOLD dan MAGGI bagi memastikan keluarga yang menerima bantuan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi sepanjang bulan Ramadan.

Salah satu rakan kerjasama penting dalam usaha ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang membantu menyalurkan 1,500 Bakul Ramadan kepada komuniti memerlukan di sekitar Lembah Klang serta kawasan lain termasuk Tanjung Malim dan Hulu Selangor. Nestlé Malaysia turut menyokong program Iftar MADANI anjuran JAKIM dengan membekalkan minuman untuk majlis berbuka puasa. Selain itu, syarikat turut menyumbang bekalan produk NESCAFÉ dan MILO kepada 70 buah masjid di seluruh negara, termasuk masjid di bawah seliaan JAKIM serta enam Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. Inisiatif ini memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 ahli kariah masjid.

Nestlé Malaysia juga bekerjasama rapat dengan organisasi media bagi menyalurkan bantuan kepada golongan miskin bandar, komuniti di Pantai Timur serta pelbagai yayasan kebajikan yang membantu golongan gelandangan, anak-anak orang asli dan rumah anak yatim. Kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Ali Maju turut membolehkan bantuan diperluaskan kepada lebih ramai penerima melalui pengagihan tambahan sebanyak 3,500 bungkusan Bantuan Ramadan.

Di samping itu, Nestlé Malaysia turut meluaskan usaha kebajikan melalui sokongan kepada komuniti bersasar. Antaranya termasuk sumbangan produk dan bantuan kewangan menerusi Pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) yang memberi manfaat kepada 500 isi rumah dalam kalangan komuniti pelarian. Syarikat juga mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong serta menyediakan bekalan makanan selama setahun kepada sebuah rumah anak yatim melalui kerjasama dengan Komuniti Belia Selangor (SAY).

Selain bantuan makanan, Nestlé Malaysia turut meneruskan tradisi menyediakan dan mengagihkan Bubur Lambuk MAGGI kepada masyarakat. Pada tahun ini, kira-kira 400,000 orang di lebih daripada 300 lokasi di seluruh negara menerima juadah tersebut, termasuk pelajar yang layak menerima zakat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Inisiatif ini turut menghimpunkan sukarelawan Nestlé Sayang Komuniti bersama pelajar universiti dalam aktiviti gotong-royong yang bermakna, sekali gus menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Sebagai syarikat yang telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1912, Nestlé Malaysia terus komited untuk memberi impak positif kepada komuniti di kawasan operasinya. Menerusi program “Ramadan Penuh Bermakna bersama Nestlé”, syarikat berusaha memastikan semangat berkongsi rezeki dan memperkukuh ukhuwah terus dihidupkan pada setiap Ramadan, selaras dengan janji jenama untuk membawakan Good Food, Good Life kepada masyarakat.