Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa Gabungan Ehailing Malaysia (GEM) mempunyai kaitan dengan persatuan ini. Sehubungan itu, bagi mengelakkan salah faham yang berterusan, PPIM ingin menegaskan semula pendirian seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan bertarikh 26 Ogos 2025 bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan rasmi dengan GEM. GEM bukanlah gabungan di bawah naungan PPIM dan tidak pernah mewakili PPIM dalam apa-apa urusan atau aktiviti.
PPIM turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terkeliru atau terpengaruh dengan sebarang dakwaan yang menyatakan bahawa GEM berada di bawah naungan atau payung PPIM. Penjelasan ini dibuat bagi memastikan ketelusan serta kejelasan identiti dan peranan setiap organisasi, sekali gus mengelakkan sebarang implikasi yang tidak diingini pada masa hadapan.
Selain itu, hasil semakan terkini mendapati status pendaftaran GEM kekal seperti tahun sebelumnya, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar. PPIM ingin mengingatkan bahawa berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah.
PPIM sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan kepentingan komuniti, namun penegasan ini perlu dibuat demi menjaga kepentingan semua pihak serta memastikan tidak timbul sebarang kekeliruan berhubung kedudukan dan peranan masing-masing. Diharapkan penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian +6013-611 6666. Terima kasih.