PPIM Perjelas Status Sebenar Gabungan Ehailing Malaysia

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa Gabungan Ehailing Malaysia (GEM) mempunyai kaitan dengan pihak mereka.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berterusan, PPIM ingin menegaskan semula pendirian sebagaimana kenyataan yang telah dikeluarkan pada 26 Ogos 2025. PPIM menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kaitan mahupun hubungan rasmi dengan GEM. Pihak GEM bukan merupakan gabungan di bawah naungan PPIM dan tidak pernah mewakili PPIM dalam mana-mana urusan atau aktiviti.

Dalam masa yang sama, PPIM menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terpedaya sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa GEM berada di bawah naungan atau payung PPIM. Penjelasan ini penting bagi memastikan ketelusan identiti setiap organisasi serta mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, semakan terkini turut mendapati bahawa status pendaftaran GEM masih kekal sebagaimana tahun lalu, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar. PPIM mengingatkan bahawa mengikut Akta Pertubuhan 1966, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah.

PPIM menyatakan bahawa mereka sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan nasib komuniti. Namun begitu, penjelasan ini perlu dibuat demi menjaga kepentingan serta kejelasan peranan masing-masing agar tidak menimbulkan sebarang implikasi pada masa hadapan.

Diharapkan penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan bagi semua pihak yang terlibat.