Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan dalam usaha mengeratkan silaturahim bersama masyarakat setempat, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), telah menganjurkan program ‘Bubur Lambuk Bersama Komuniti di Merdeka 118’ buat tahun ketiga berturut-turut di Merdeka 118. Program kali ini menghimpunkan lebih 80 kakitangan PNB dan PNBMV yang tampil secara sukarela bersama penduduk perumahan awam sekitar untuk memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar presint berkenaan.
Penyediaan bubur lambuk berlangsung di sekitar Masjid Al-Sultan Abdullah yang terletak berhampiran Stadium Merdeka, mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur, dengan pengagihan bermula selepas solat Zohor. Secara keseluruhan, sebanyak 800 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada kira-kira 800 individu dalam kalangan komuniti setempat dan pengunjung ke presint Merdeka 118. Inisiatif yang memasuki tahun ketiga ini mencerminkan hubungan erat antara pembangunan Merdeka 118 dan masyarakat sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Izwan Ibrahim berkata program Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118 merupakan salah satu cara pihaknya berkongsi tradisi yang sinonim dengan rakyat Malaysia, di samping mengekalkan hubungan baik dengan komuniti setempat selaras dengan pendekatan Warisan KL yang menekankan insan, warisan dan tempat sebagai nadi pembangunan bandar. Menurut beliau, tradisi yang dianjurkan setiap tahun sejak 2024 itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan pembangunan di kawasan berkenaan sentiasa mengambil kira aspek sosiobudaya setempat. Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan secara langsung dalam program sebegini memberi peluang untuk berinteraksi dengan komuniti, memandangkan Stadium Merdeka telah lama menjadi ruang awam untuk masyarakat dan pihaknya berbesar hati untuk terus menganjurkan aktiviti yang bermakna.


Turut hadir ialah Mohd Azmi Zakaria, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Sarawak, yang memaklumkan bahawa setiap kali Ramadan, penduduk setempat menantikan program memasak dan pengagihan bubur lambuk tersebut. Katanya, bagi kebanyakan keluarga, peluang membawa pulang juadah berbuka puasa amat bermakna dan dihargai, selain merakamkan penghargaan kepada PNBMV kerana terus menyantuni komuniti dan berharap kerjasama tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh penglibatan masyarakat di dalam dan sekitar presint Merdeka 118, sekali gus menyokong inisiatif menghimpunkan komuniti, mengeratkan silaturahim serta memupuk nilai inklusif. Sepanjang Ramadan, Stadium Merdeka turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan bazar yang menyediakan ruang berkumpul untuk orang ramai, manakala Masjid Al-Sultan Abdullah menganjurkan program iftar yang menambah kepelbagaian aktiviti kepada komuniti setempat.
Pada tahun lalu, program bubur lambuk ini diadakan buat julung kalinya di Stadium Merdeka dengan pengagihan sebanyak 600 bungkus kepada penduduk sekitar selepas solat Jumaat. Edisi pertama pada tahun 2024 pula menyaksikan hampir 450 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penghuni Perumahan Awam Seri Sarawak, Perumahan Awam Jalan Hang Tuah, Perumahan Awam Loke Yew dan Perumahan Awam Seri Selangor, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif program ini dari tahun ke tahun.













