PNB Merdeka Ventures & JPM (Hal Ehwal Agama) Jayakan Perlawanan Bola Sepak Persahabatan di Stadium Merdeka

Stadium Merdeka hari ini menjadi tumpuan apabila PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Perlawanan tersebut bertambah meriah dengan penyertaan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta kehadiran YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad bin Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan terhadap inisiatif komuniti yang dianjurkan di stadium bersejarah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, yang turut beraksi sebagai pemain sayap kanan, berkata penganjuran perlawanan tersebut selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Stadium Merdeka sebagai ruang komuniti yang aktif dan menyatukan masyarakat, bukan sekadar dikenang melalui sejarah sukannya. Menurut beliau, sebagai tarikan utama dalam presint Merdeka 118, stadium ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk pelbagai aktiviti termasuk bersukan, beriadah, yoga dan program komuniti lain. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk hadir merasai sendiri suasana di Stadium Merdeka.

Stadium Merdeka telah dibuka semula pada 17 Ogos 2024 selepas menjalani kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh. Sehingga kini, stadium tersebut terus berperanan sebagai ruang komuniti yang aktif dengan penganjuran lebih 200 acara merangkumi bidang budaya, seni, pendidikan, warisan dan sukan. Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti akan datang atau penyertaan program, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram Stadium Merdeka di @stadiummerdeka. Sekolah dan organisasi yang berminat untuk menganjurkan acara di Stadium Merdeka juga boleh merujuk maklumat tempahan melalui platform yang sama atau menghubungi stadiums@pnb.com.my.