Pertemuan Tidak Disangka: Adam Lee Menemui Ayah di Tempat Maksiat

Dia hanya ingin mengenal ayahnya, namun tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa pertemuan itu akan berlaku di lorong gelap, di tempat paling hina yang tidak sepatutnya menjadi saksi seorang anak. Kisah menyayat hati inilah yang diangkat dalam drama Samarinda terbaharu TV3 berjudul Bintang Di Langit Syawal, sebuah naskhah penuh emosi yang mengupas makna kasih sayang, konflik keluarga dan pencarian identiti diri.

Bakal bersiaran mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam, Bintang Di Langit Syawal menyingkap kehidupan anak yatim bernama Syawal (Adam Lee), yang sering dibayangi rasa kosong dan rindu kasih seorang bapa.

Suatu hari, kemunculan lelaki misteri bernama Latif (Azhar Sulaiman) di rumah kebajikan tempat Syawal membesar telah mengubah segalanya apabila lelaki itu meninggalkan sejumlah wang yang membangkitkan tanda tanya. Lawatan yang sepatutnya dirahsiakan akhirnya terbongkar kepada Syawal, lalu mencetuskan pencarian yang bakal mengubah hidupnya.

Didorong oleh rasa ingin tahu dan keyakinan bahawa lelaki itu ialah ayah kandungnya, Syawal nekad melarikan diri dari rumah tersebut. Dalam perjalanannya, takdir menemukan dia dengan Jess (Scha Elinnea), seorang gadis yang menjadi penguat dalam kisah penuh luka dan rahsia.

Namun jejak yang disangka akan menyatukannya dengan sang ayah akhirnya membawa Syawal ke tempat gelap yang menggugat keyakinannya tentang makna keluarga. Ia meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Apa sebenarnya yang dilakukan Latif di situ dan mengapa hidupnya terikat dengan dunia sekeji itu? Adakah pertemuan ini akan menjadi sinar yang dicari Syawal, atau sekadar menambah luka dalam pencarian kasih dan identiti dirinya?

Drama ini merupakan naskhah arahan Bahri Umar dengan tulisan Tommy Loh dan diterbitkan oleh Sha’s Media. Bintang Di Langit Syawal dijangka menyentuh jiwa penonton menerusi 15 episod yang memaparkan kehilangan dan penerimaan yang tidak selalu indah. Diterajui barisan pelakon berbakat besar seperti Adam Lee, Scha Elinnea, Azhar Sulaiman, Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana, drama ini menjanjikan perjalanan watak yang kompleks namun realistik, sekali gus menggali makna sebenar kasih, pengampunan dan erti menjadi manusia.

Mengulas tentang wataknya, Adam Lee berkongsi bahawa Syawal adalah seorang remaja yang menyimpan begitu banyak perasaan, terutama sebagai seorang anak yatim. “Bila saya baca skrip ini tentang seorang remaja yang mencari ayahnya tetapi menemui kebenaran yang pahit, saya terus rasa watak ini mesti saya hidupkan sepenuh jiwa. Dia marah, keliru, memberontak tetapi semua itu lahir daripada keinginan untuk hanya disayangi. Kisah ini mengingatkan saya bahawa setiap luka ada sinarnya sendiri dan setiap langit, walau kelam, tetap menyimpan bintang. Saya harap penonton dapat merasai semua emosi itu, kecewa, harapan dan perjalanan pencarian yang menelusuri setiap parut,” katanya.

Jangan lepaskan episod pertama Bintang Di Langit Syawal Khamis ini hanya di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia atau Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.