Pelancaran Program Care Cake Hasil Kolaborasi Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle

Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle hari ini melancarkan Program Care Cake, sebuah inisiatif istimewa yang mengetengahkan produk terbaharu Ajwa iaitu Marbeles Series. Ianya ialah gabungan kek marble dan keju yang diilhamkan sebagai simbol harapan dan kasih sayang. Pelancaran ini turut disertai dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai lambang komitmen dalam usaha kebajikan bersama.

Program ini menggabungkan elemen perniagaan dan kebajikan, di mana 30 peratus daripada hasil jualan Marbeles Series akan disumbangkan terus kepada Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina. Dana yang dikumpul akan digunakan bagi menyediakan keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi kepada kanak-kanak serta remaja yang sedang menjalani rawatan kanser.

Pengasas Ajwa Bakery, Puan Dahlia Nazmi, berkata pihaknya percaya bahawa perniagaan mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada masyarakat. Melalui Program Care Cake, Ajwa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Adina untuk menjadikan setiap potongan kek sebagai pembawa harapan.

Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi pula menyifatkan program ini sebagai bukti bahawa kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuklah menerusi makanan. Menurut beliau, setiap pembelian bukan sahaja membawa rasa manis tetapi turut menyumbang semangat dan sokongan kepada pesakit cilik yang memerlukan.

Selain pelancaran produk, Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle turut merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti bersama seperti kempen kesedaran serta program interaktif bersama kanak-kanak pesakit kanser, dengan penglibatan sukarelawan sepanjang tempoh kolaborasi ini.

Produk Marbeles Series di bawah Program Care Cake kini boleh didapati di cawangan Ajwa Bakery di Kota Damansara dan Taman Melawati, serta akan ditawarkan melalui platform jualan dalam talian yang akan diumumkan tidak lama lagi.