Havoc Trio Festival 2025 Angkat Perpaduan Rakyat Melalui Aktiviti Komuniti dan Nilai Spiritual

World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur sekali lagi bakal menjadi lokasi tumpuan apabila Havoc Event & Management Sdn. Bhd. menganjurkan Havoc Trio Festival 2025, sebuah festival hujung tahun yang menghimpunkan tiga segmen utama di bawah satu penganjuran: Year-End Sale, Food Festival dan Back to School Fair. Acara selama empat hari yang berlangsung dari 4 hingga 7 Disember 2025 ini dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung dari seluruh negara.

Bermula jam 11 pagi hingga 11 malam, festival ini menawarkan lebih 300 vendor merangkumi makanan viral, produk gaya hidup, barangan sekolah serta produk pendidikan. Dengan tema “Shopping, Eat & Enjoy”, festival ini bukan sahaja medan membeli-belah dan hiburan, tetapi turut berperanan sebagai platform pengukuhan hubungan sosial serta pemangkin ekonomi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Dato’ Firdaus Nadxaman menjelaskan bahawa penganjuran tahun ini membawa aspirasi baharu yang melebihi konsep jualan dan hiburan semata-mata. Beliau turut menekankan bahawa Havoc Trio Festival menjadi simbol perpaduan melalui penyertaan usahawan, vendor kecil, pelancong dan keluarga yang bersama-sama menggerakkan suasana akhir tahun.

“Havoc Trio Festival bukan hanya festival, tetapi platform penyatuan komuniti. Matlamat kami adalah untuk menjadikannya sebagai festival rakyat yang menggerakkan ekonomi sambil mengekalkan semangat kebersamaan. Tahun ini lebih istimewa dengan kehadiran selebriti, jenama besar serta aktiviti Islamik dan kerohanian yang menambah nilai kepada pengunjung,” katanya.

Edisi 2025 juga memperkenalkan segmen Islamik dan kerohanian buat pertama kali, termasuk Malam Mahabbah, sesi kerohanian bersama pendakwah jemputan, persembahan nasyid dan penampilan artis Islamik. Inisiatif ini memberi dimensi baharu kepada festival, menjadikannya lebih seimbang antara hiburan dan pengisian rohani.

Ketua Pegawai Operasi, En. Faizul Mohd Yusof menegaskan bahawa aspek teknikal dan keselamatan diberi perhatian khusus. “Kami menambah baik pengurusan keselamatan, aliran pengunjung dan kemudahan vendor agar semua lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga warga emas, menikmati pengalaman yang selesa,” jelasnya.

Selain promosi jualan, festival ini turut diserikan dengan persembahan artis terkenal seperti Aliff Aziz, Mark Adam, Ruhainies, Risteena Asfan Shah, Syura Badron, Qistina Raisya, Daud Latah, Chef Ammar, Azza Elite, Saharul Ridzwan, Vokey dan Zarina Zainuddin. Kemunculan semula Aliff Aziz di pentas Malaysia menjadi antara daya tarikan yang menunjukkan keterbukaan Havoc dalam memberi ruang baharu dalam dunia hiburan.

Aktiviti seperti Food Challenge, Lucky Draw Harian, Happy Hour Sale Countdown, Back to School Giveaway dan persembahan malam bertema kerohanian dijangka menceriakan festival. Penganjur turut menyediakan pelbagai kejutan harian untuk menjadikan festival ini bukan sahaja destinasi membeli-belah tetapi juga tempat beriadah dan mengeratkan hubungan keluarga.

Sejak penubuhannya pada 2019, Havoc Event & Management Sdn. Bhd. telah membina rekod sebagai penganjur festival berskala besar melalui siri Havoc Food Festival (HFF) di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Johor serta perkembangan terbaharu ke Brunei. Dengan lebih 70 penganjuran, Havoc terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri festival di rantau ini.

Havoc Trio Festival 2025 membuktikan bahawa festival bukan hanya mengenai hiburan dan jualan, tetapi juga manifestasi nilai komuniti, kemanusiaan dan aspirasi nasional. Ia menjadi refleksi kepada budaya Malaysia yang berbilang kaum dan inklusif, diraikan dalam suasana harmoni. Festival ini bukan sekadar penutup tahun, tetapi simbol permulaan baharu kepada semangat kebersamaan yang ingin diteruskan oleh Havoc Event & Management pada masa hadapan.