GenKRU The Finale One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025 menjadi penganjuran kelima KRU pada tahun ini. Ia hadir selepas empat konsert terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil yang mencipta sejarah baharu dalam industri muzik tempatan. Sambutan luar biasa peminat sejak konsert pertama pada bulan Mei telah mendorong Icon Entertainment memenuhi permintaan tinggi untuk membawa KRU kembali ke pentas berskala besar.
Menurut Iman, penganjuran konsert di Malaysia kini semakin mengikuti trend global. Beliau menjelaskan bahawa konsert antarabangsa sering berlangsung lebih daripada satu hari, malah ada yang mencecah seminggu. Perkembangan ini mula memberi kesan kepada penganjuran konsert tempatan. Rakan penganjur termasuk Icon Entertainment kini lebih yakin menambah tarikh apabila permintaan peminat meningkat dengan ketara. Fenomena ini terbukti melalui penganjuran GenKRU The Finale One More Time yang tercetus sepenuhnya kerana desakan kuat daripada peminat.
Konsert ini menampilkan barisan penyanyi undangan seperti Juliana Banos, Elite, Adam AF, Dina Nadzir, Dato Vida dan Leona. Acara bermula pada jam 8.30 malam dengan konsep dan suasana bertemakan era 90-an bagi mengembalikan nostalgia peminat setia KRU. Penganjuran ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik termasuk DTC sebagai pengangkutan rasmi, Era, Sinar, Gegar dan Zayan sebagai radio rasmi serta Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi.

Sepanjang persembahan, KRU membawa penonton melalui perjalanan muzik mereka dengan setlist yang padat dan bertenaga. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk medley Fobia dan Salah Siapa, Awas, Mengerti, Voodoo, Intifada, Sayang, Emilia, One More Time, Janji Tinggal Janji, Sehidup Semati, Fanatik dan Terhangat Di Pasaran. KRU turut menutup malam penuh nostalgia itu dengan lagu Thank You 2025 sebagai penghargaan kepada semua yang terus menyokong mereka sepanjang tiga dekad di dalam industri.
Dengan sambutan luar biasa serta keupayaan mengadakan lima konsert dalam setahun, KRU membuktikan pengaruh mereka masih utuh. GenKRU The Finale One More Time bukan sahaja mengukuhkan legasi kumpulan ini, tetapi juga menunjukkan potensi besar industri muzik Malaysia untuk bergerak seiring dengan trend penganjuran konsert antarabangsa.